Dipenjara 13 tahun, 5 sebatan, rogol, liwat 2 adik angkat masih kecil
Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun serta lima sebatan atas pertuduhan merogol dan meliwat dua adik angkatnya, masing-masing berusia 10 dan lapan tahun, Ogos serta September lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nooriah Osman, membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 26 tahun mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, dia merogol seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus pada jam 12 tengah malam, 31 Ogos lalu.
Selain itu tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap adik lelaki mangsa pertama itu yang berusia lapan tahun dengan meliwatnya di lokasi sama, kira-kira jam 2 petang, 16 September lalu.
Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan merogol, manakala tiga tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan meliwat.
Mahkamah mengarahkan hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 26 Oktober lalu.
Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama setahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Awani
You must be logged in to post a comment.