Lebih banyak kawasan alami fenomena air termenung di Kelantan
Kira kira 1,000 orang penduduk di tiga kampung berdepan dengan keadaan fenomena ‘air termenung’ atau air banjir yang bertakung disebabkan aliran air yang tidak dapat keluar.
Sejak dua minggu lalu, air hujan yang bertakung tidak dapat dialirkan keluar dari Kampung Pulau Melaka, Kampung Babong dan Kampung Hujung Tanjung di sini.
Seorang penduduk, Tengku Mohd Amur Fazlizam Raja Ali, berkata itu adalah masalah yang sering dihadapi setiap kali banjir berlaku di kampung mereka.
“Masalah ini sudah lima tahun berlarutan… air tak boleh keluar, tersekat di kampung ini… tak ada saluran yang air boleh keluar.
“Ia berlaku sejak 2014 lagi. Banyak masalah terpaksa dihadapi penduduk disebabkan keadaan seperti ini, kereta tak boleh keluar masuk dan sebagainya,” katanya di sini.
Seorang lagi penduduk, Roslan Yusuf, berkata mereka terpaksa menggunakan sampan untuk bergerak sementara menunggu air surut yang mungkin boleh mengambil masa sehingga sebulan.
“Dulu kita buat rakit sendiri sebab tak ada pilihan nak bergerak. Sekarang ada orang bagi guna bot… kita terpaksa cari jalan untuk bergerak dalam keadaan seperti ini,” katanya.
Dia berkata, penduduk berharap pihak bertangungjawab mencari jalan untuk mengatasi masalah itu termasuk membina sistem perparitan yang bersesuaian.
Sehingga semalam keadaan banjir semakin pulih di Kelantan, namun paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan bacaan paras bahaya iaitu, 9.37 meter. Awani
You must be logged in to post a comment.