Berkhemah Di atas Bukit Cari ‘LINE’ Nak Jawab Periksa

Tanah Merah: Bertemankan lingkaran ubat nyamuk dan kipas angin di sisi, seorang remaja perempuan tenang menjawab soalan peperiksaan di bawah khemah di atas bukit dengan menggunakan komputer riba dan modem WiFi diletakkan di atas meja kecil.

Kawasan atas bukit setinggi 20 meter di belakang rumahnya itu adalah satu-satunya lokasi terdekat membolehkan Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi, 20, yang juga penuntut Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dari Kampung Bukit Petai Tujuh, di sini, mendapatkan liputan Internet.

Khemah itu dibina sejak 10 hari lalu semata-mata untuk membolehkan penuntut jurusan Teknologi Makmal Perubatan itu menjawab soalan peperiksaan dengan lancar tanpa perlu keluar ke lokasi lain di luar kampung, meskipun ‘diganggu’ nyamuk, pacat dan berdepan ancaman reptilia berbisa seperti ular.



Nurlieda Khaleeda berkata, kampungnya dan lima kampung sekitar memang berdepan dengan masalah liputan jalur lebar dan Internet sehingga sangat menyukarkan penuntut sepertinya mengikuti kelas secara dalam talian.

“Saya pulang ke kampung sejak Julai lalu dan dalam tempoh itu perlu mengikuti kelas secara dalam talian menyebabkan saya perlu keluar dari kampung sejauh tiga kilometer sebelum menerima liputan internet dengan jelas.

“Selalunya dalam tempoh satu hingga dua jam, sesi pembelajaran itu berlangsung dalam kereta dan jika ada kelas malam (secara dalam talian), saya akan ditemani ayah atau adik untuk berada di dalam kereta,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

 



 

Nurlieda Khaleeda berkata, beberapa hari sebelum menduduki peperiksaan yang bermula pada 23 November lalu, dia mulai risau memikirkan cara untuk menghadapinya kerana perlu merakam video secara langsung sepanjang menjawab peperiksaan.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, bapanya, Mohd Azmi Ahmad, 48, cuba meletakkan modem WiFi di sebuah tiang dipacak di atas bukit belakang rumah, namun liputan tetap tidak diterima di kawasan rumahnya.

Katanya, ayahnya membuat keputusan membina khemah kecil di atas bukit dengan hanya dibalut plastik putih dan karpet nipis untuk dia berlindung.



“Khemah itu saya gunakan sepanjang peperiksaan berlangsung selama dua minggu ini dengan sambungan bekalan elektrik dari rumah.

“Selama satu atau dua jam peperiksaan berlangsung, saya perlu merakam video sepanjang peperiksaan menerusi telefon bimbit yang dipasang di tripod untuk pemerhatian pensyarah.

“Hanya di bukit ini sahaja liputan internet boleh diakses dengan baik walau terdapat sedikit gangguan namun setakat tiga kertas peperiksaan berlangsung, segalanya berjalan lancar,” katanya.

 



MUHAMMAD AMEIN (kanan) ditemani rakan membina pondok di atas sebatang pokok di kaki bukit berhampiran bagi melayari internet sejak Pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MUHAMMAD AMEIN (kanan) ditemani rakan membina pondok di atas sebatang pokok di kaki bukit berhampiran bagi melayari internet sejak Pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Selain khemah kecil itu, sebuah pondok turut dibina di atas sebatang pokok berhampiran sejak beberapa bulan lalu bagi kegunaan penduduk kampung untuk melayari Internet.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, selain kampungnya, lima kampung lain yang turut mengalami nasib gangguan liputan komunikasi ialah Kampung Mengat, Degong, Che Nakaf, Jerangau Dalam dan Jerangau Luar.

“Ramai anak penduduk kampung turut berdepan dengan kesulitan untuk belajar dalam talian disebabkan masalah liputan Internet dan kebanyakan mereka perlu keluar ke kawasan lain dan semakin sukar jika ada kelas ‘online’ malam.

“Selain along (Nurlieda Khaleeda), anak ketiga saya, Muhammad Amein Khalielee, 18, yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi, Terengganu turut memerlukan liputan internet untuk menyiapkan tugasannya,” katanya.-HM



Terpaksa naik bukit untuk belajar online



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker