Saman bil tertunggak Azmin didengar bermula 26 Januari

Saman bil perjalanan tertunggak ke atas Mohamed Azmin Ali akan didengar selama empat hari, bermula 26 Jan depan.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 26 Jan serta 24, 25 dan 26 Feb 2021 sebagai tarikh pendengaran tindakan undang-undang YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd ke atas menteri perdagangan dan industri itu.

Peguam Azmin, Shahid Adli Kamarudin mengesahkan tarikh berkenaan kepada Malaysiakini hari ini.

“Semasa pengurusan kes sebelum ini (di hadapan hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun), Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh pendengaran pada 26 Jan serta 24, 25 dan 26 Feb,” katanya.

Pemeriksaan pada senarai kausa di ecourtservices.kehakiman.gov.my menunjukkan kes itu ditetapkan untuk didengar di hadapan Lailatul pada jam 10 pagi, untuk empat hari berkenaan.

Pada 5 Nov tahun lepas, dilaporkan bahawa YHA memfailkan saman terhadap bekas timbalan presiden PKR itu untuk mendapatkan RM328,901 bayaran tiket penerbangan dan penginapan hotel yang didakwa tidak dibayar.

YHA mendakwa jumlah itu untuk perjalanan antara September 2018 dan Ogos 2019.

Mengikut tuntutan tersebut, firma itu telah menempah tiket penerbangan dan penginapan hotel untuk Azmin, keluarganya, rakan-rakan dan kakitangan kementerian.

Firma itu antara lain mendakwa ia telah membuat bayaran awal kepada syarikat penerbangan dan Azmin atau wakilnya sepatutnya membayar pihaknya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

Pada 14 Dis tahun lalu, dilaporkan bahawa Azmin memfailkan tuntutan balas ke atas YHA, mendakwa saman oleh syarikat itu mempunyai kaitan dengan klip video seks yang didakwa melibatkannya dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Pemfailan yang dilihat oleh Malaysiakini itu merujuk klip video seks berkenaan sebagai “video fitnah”.

Pada 30 Dis, dilaporkan bahawa YHA memfailkan permohonan untuk memasukkan empat orang anak Azmin sebagai defendan dalam tindakan undang-undang berkenaan, iaitu Farah Shazliyana, Farah Afifah, Farah Amira, dan Mohamed Ameer Shazrin.

Pada 23 Jan tahun ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan itu.

September tahun ini pula, YHA menarik balik saman ke atas tiga orang anak Azmin. Bagaimanapun, dalam bulan sama kemudiannya, YHA memfailkan semula saman bil perjalanan ke atas mereka.

Ini bermakna YHA mempunyai dua saman bil perjalanan tertunggak yang berasingan – untuk Azmin dan Farah Syazliyana dan satu lagi untuk Farah Afifah, Farah Amira, dan Mohamed Ameer Shazrin.

Saman yang ditetapkan didengar tahun depan itu adalah terhadap Azmin dan Farah Syazliyana. Mk

Saman bil tertunggak kini sasar 4 anak Azmin Ali

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker