Lima Jam Tunggu Giliran Saringan Covid-19

GEORGE TOWN – Pekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran lebih lima jam bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sejak pukul 10 pagi tadi.

Difahamkan, ujian saringan yang dijalankan oleh syarikat kesihatan persendirian berdaftar itu membabitkan lebih 5,000 pekerja dan operator kilang pengeluaran produk elektronik berkenaan.

Pekerja kilang di Bayan Lepas beratur panjang untuk menjalani saringan Covid-19 hari ini.

Ini berikutan terdapat laporan kes positif pandemik itu melibatkan pekerja kilang berkenaan baru-baru ini.

Tinjauan Kosmo! di pekarangan kilang terbabit tengah hari tadi mendapati berlaku kesesakan sehingga rata-rata mereka mengeluh disebabkan terpaksa menunggu giliran lebih lama selain ada yang dikatakan gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Seorang operator yang hanya mahu dikenali sebagai Aina, 20-an, berkata, dia terpaksa menunggu lebih lima jam sejak pagi tadi selepas diarah majikan supaya hadir menjalani ujian saringan Covid-19 menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dakwanya, hampir ribuan pekerja datang seawal pukul 7 pagi dan keadaan menjadi sesak dengan pekerja-pekerja sehingga ada dalam kalangan mereka gagal mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

“Saya terkejut sebaik sampai pagi tadi dan memilih untuk menunggu di luar bagi mengelak berhimpit.

“Sehingga kini kami tidak diberi maklumat yang jelas berkaitan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja kilang berkenaan,” katanya yang sudah bekerja hampir lima tahun di situ.

Setakat semalam, terdapat 14 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri ini dengan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 1,809 kes. – K! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker