Doktor Maut Ditetak Perompak

Kuala Lumpur: Bekas penyelidik bergelar doktor falsafah maut dipercayai ditetak dalam kejadian rompakan di rumahnya di Bangsar di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa bersama isterinya berada di rumah sebelum diserang dua lelaki yang memecah masuk mereka.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika bekalan elektrik di kawasan perumahan berkenaan terputus.

“Berdasarkan maklumat awal, dua lelaki bersenjata tajam memecah masuk rumah mangsa.

“Mangsa cedera ditetak suspek di bahagian leher dan badan manakala isteri ditetak di bahagian tangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isteri cedera parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mengesan suspek.

Kuala Lumpur: Siasatan polis mendapati suspek meminta wang sebelum menetak lelaki warga emas sehingga maut dalam rompakan di Bangsar di sini, hari ini.

Pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, meninggal dunia di lokasi selepas ditetak di muka dan leher manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera serta menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Assisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis menerima panggilan daripada seorang wanita yang juga anak mangsa pada 4.01 pagi.

“Menurut isteri, mangsa terdengar bunyi bising di bahagian dapur rumah kira-kira 3.30 pagi.

“Dua lelaki tidak bertopeng dan berparang meminta duit. Mangsa cuba melawan dan seterusnya ditetak. Isteri mangsa turut ditetak di bahagian bahu kanan.

“Suspek kemudian mengambil barang-barang berharga, namun belum dapat dipastikan. Suspek melarikan diri melalui tingkap dapur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Arwah minta terbitkan buku Panduan Mudah Membaca al-Quran

Kuala Lumpur: “Arwah ada susun manuskrip Panduan Mudah Membaca al-Quran dan minta saya perkemaskan serta jadikan buku.

“Itulah permintaan terakhir arwah pak cik kepada saya. Insya-Allah saya akan tunaikan dan maklumkan kepada anak arwah jika mereka berminat untuk terbitkan,” kata Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Wan Ahmad Fauzi adalah anak saudara kepada Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, yang maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di Bukit Bandaraya, Bangsar, pagi tadi.

Menurutnya yang juga Profesor Madya Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, beliau menerima berita kejadian itu daripada ahli keluarga yang menghubunginya jam 5 pagi.

“Kebetulan saya ada di rumah di Denai Alam, Selangor jadi saya terus ke rumah pak cik pagi tadi. Sebaik tiba, jenazah pak cik masih ada di rumah sementara menunggu pihak forensik.

“Manakala mak cik saya yang cedera ditetak sudah dikejarkan ke hospital untuk rawatan segera. Saya dimaklumkan mak cik dalam keadaan stabil,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, mayat arwah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 7.30 pagi tadi dan bedah siasat dijangka dijalankan pagi esok selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.

Berkongsi mengenai sikap bapa saudaranya itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, arwah banyak melakukan kerja amal dan mengajar kelas al-Quran untuk veteran.

“Saya dimaklumkan arwah sempat mengimamkan solat Subuh di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar semalam. Pak cik memang rajin mengimamkan solat berjemaah apabila diminta sebab beliau pandai mengaji al-Quran seperti arwah ayahnya suatu ketika dulu.

“Kehilangan pak cik pasti amat dirasai seluruh ahli keluarga dan kenalannya. Ramai anak murid mengaji al-Quran beliau turut merasa kehilangannya,” katanya.

Katanya, arwah adalah bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan mempunyai lima anak termasuk seorang perempuan.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, rumah dihuni mangsa dan isteri Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta duit menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.-HM

Lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui atas jalan di Bangsar

Budak 9 tahun lawan perogol ibu mati ditetak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker