Saya bagi warning, jangan jadikan projek perumahan kos rendah kepada komersial, kata Tajuddin

Share

 

“Kalau begini saya nak minta pengurusan Felcra, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) itu buang, ganti orang lain.

“Satu ketika saya balik ke kawasan (Pasir Salak), saya tengok semak samun. Ini tidak betul, saya bagi warning (amaran)… Saya nak bertanding lagi esok.”

Demikian amaran Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang bangkit selepas tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad apabila Felcra menukarkan projek perumahan kos rendah kepada projek komersial.

Tajuddin berkata, dia mendapatkan tanah seluas 380 ekar (153.8 hektar) untuk diberi kepada peserta Felcra secara percuma dengan bayaran hanya RM1,500 untuk satu lot tanah berkeluasan 1,000 kaki persegi (92.9 meter persegi) yang boleh dibuat rumah banglo.

“Macam mana boleh bertukar daripada projek untuk membela anak pengusaha Felcra kepada projek komersial.

“Projek ini saya buat untuk anak peserta Felcra dan harganya kurang daripada itu yang dikata RM300,000, ini tidak betul.

“Kenapa kos jualan dah naik dan jadikan kos komersial, ini tidak betul, betulkan balik Timbalan Menteri (Abdul Rahman), saya bagi warning, saya nak bertanding lagi esok,” katanya yang juga bekas Pengerusi Felcra.

Abdul Rahman kemudian menjelaskan dia akan berbincang kembali dengan Felcra apakah punca satu projek asal boleh bertukar kepada projek komersial.

“Saya nak ucap tahniah kepada Pasir Salak memandangkan beliau cadangkan projek ini ketika menjadi Pengerusi Felcra dan saya pun tidak menjangkakan projek ini yang dinyatakan Pasir Salak menjadi projek komersial.

“Ini sudah pastilah saya terpaksa berbincang kembali dengan Felcra apakah punca ia menjadi sebuah projek komersial dan tidak menjangkakan projek asal yang dicadangkan Pasir Salak adalah projek kos rendah untuk diberi kepada penduduk setempat,” katanya.

Menerusi soalan lisan Tajuddin (BN-Pasir Salak) mahu kementerian itu menyatakan status projek perumahan generasi kedua Felcra Changkat Lada, Seberang Perak.

Abdul Rahman berkata, Projek Perumahan Generasi Kedua Seberang Perak (Fasa 2) adalah sebuah projek komersial membabitkan pembinaan 710 rumah sesebuah yang dijual dengan harga mampu milik dari RM128,888 sehingga RM317,888 seunit yang dimulakan pembinaannya pada 2014.

“Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM100 juta dimana RM29 juta adalah peruntukan infrastruktur yang dibiayai oleh KPLB manakala RM71 juta adalah peruntukan bagi pembinaan rumah yang dibiayai oleh Felcra Berhad,” katanya.

Himpunan Penyatuan Ummah di Pasir Salak Untuk Semua, Jangan Ada Mana-Mana Pihak Rasa Terancam, Terpinggir

Leave a Reply