Belanjawan 2021: Sabah minta peruntukan khas pulihkan projek Pan Borneo · MYKMU.NET

Belanjawan 2021: Sabah minta peruntukan khas pulihkan projek Pan Borneo

Share

Belanjawan 2021 perlu menyediakan peruntukan khas untuk memulihkan projek lebuh raya Pan Borneo Sabah selepas tertangguh sebelum ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kerajaan persekutuan wajar menimbangkan perkara itu agar lebuh raya bernilai lebih RM30 bilion itu dapat disiapkan secepat mungkin.

Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata, projek mega itu tidak boleh dibiarkan tergendala kerana ia penting untuk menambah baik sistem perhubungan di Sabah dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kerajaan Pusat perlu mempercepatkan penyiapan lebuh raya Pan Borneo yang tergendala. Kerajaan negeri khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedia memberikan kerjasama sepenuhnya demi kepentingan rakyat di negeri ini.

“Kita juga meminta kerajaan Pusat dan Kementerian Kerja Raya persekutuan mengembalikan segera projek itu kepada kerajaan negeri. Kita juga mahu pelantikan kontraktor dan sebagainya dibincangkan bersama kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan mengenai harapan rakyat Sabah terhadap Belanjawan 2021.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata langkah mempercepatkan projek itu juga selaras dengan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu.

Pada masa yang sama, beliau berkata peruntukan besar untuk menambah baik perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negeri ini bagi menampung keperluan rakyat di seluruh negeri juga sangat diperlukan.

“Sebagai negeri yang amat terkesan dengan COVID-19, kita melihat beberapa masalah dihadapi di Sabah antaranya ialah kemudahan kesihatan. Sehubungan itu, kita berharap kerajaan Pusat menaikkan peruntukan dalam Belanjawan 2021 untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan kesihatan di negeri ini.

“Usaha juga perlu dilakukan untuk menambah kakitangan melalui pengambilan baharu Pembantu Perubatan, Jururawat, Pegawai Kesihatan dan lain-lain. Kerajaan Pusat juga perlu menyegerakan pelantikan tetap pelatih perubatan dari kolej kesihatan kerajaan yang belum menerima tawaran bertugas,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata kerajaan Pusat juga perlu meningkatkan peruntukan bagi melaksanakan projek menaik taraf sekolah daif di Sabah.

Katanya, ia termasuk untuk mengganti bangunan sekolah lama yang sudah kelihatan uzur dan tidak selamat digunakan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Bagi membantu rakyat yang terjejas pendapatan disebabkan pandemik COVID-19 pula, Bung Moktar berharap kerajaan Pusat dapat melanjutkan moratorium pinjaman bank secara automatik kepada seluruh rakyat hingga Mac 2021.

Filipina makin melampau, buka Biro Borneo Utara

Leave a Reply