Golongan terjejas COVID-19 masih boleh mohon bantuan pembayaran semula — BNM

Share

Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi jaminan kepada peminjam bahawa bantuan pembayaran balik akan kekal tersedia untuk peminjam yang pendapatannya terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menurut BNM, bergantung kepada keadaan peminjam, mereka yang terjejas ini biasanya meminta pengurangan ansuran pembayaran balik bulanan atau lanjutan moratorium.

“Peminjam yang menolak bantuan pembayaran balik sebelum ini, masih boleh memohon bantuan bersasar sepanjang 2020 sehingga ke 2021 jika keadaan kewangan mereka berubah pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Skala bantuan pembayaran balik yang disasarkan tidak pernah berlaku dalam sejarah perbankan Malaysia kerana bantuan terus ditawarkan kepada peminjam di pelbagai kumpulan pendapatan, dengan pertimbangan khas diberikan kepada isi rumah dalam kategori B40, perniagaan mikro serta peminjam yang terjejas akibat sekatan pergerakan.

“Pendekatan yang disasarkan untuk bantuan pembayaran balik memperluaskan langkah-langkah bantuan dengan lebih mampan, di samping mengukuhkan usaha ke arah pemulihan ekonomi,” katanya.

Ramai peminjam kini mampu dan telah mula menyambung semula pembayaran balik, dan bagi kumpulan ini, menyambung semula pembayaran balik menjadi keutamaan mereka kerana ini akan mengurangkan kos pinjaman secara menyeluruh.

“Peminjam yang memerlukan bantuan pada masa ini berpeluang menyesuaikan pelan pembayaran balik mereka berdasarkan apa yang mereka mampu. Jika keadaan mereka terjejas lagi pada masa akan datang, mereka akan mempunyai rekod pembayaran balik yang lebih baik bagi memudahkan bantuan lanjut oleh bank,” katanya.

Bank pusat itu juga berkata sumber kewangan sistem perbankan boleh diutamakan untuk membantu mereka yang paling terjejas oleh COVID-19 dan memandangkan lebih ramai peminjam yang mampu membayar balik terus menunaikan tanggungjawab mereka, lebih banyak bantuan boleh disediakan.

BNM juga menggesa peminjam yang terjejas untuk tampil ke hadapan untuk memohon bantuan pembayaran balik dengan bank mereka melalui pelbagai saluran yang ada.

“Bank dikehendaki untuk membalas permohonan bantuan pembayaran balik yang disasarkan dalam tempoh lima hari bagi peminjam individu serta dalam tempoh 14 hari untuk peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Peminjam yang tidak menerima jawapan daripada bank mereka dalam tempoh tersebut perlu menghubungi BNMTELELINK (bnm.my/RAsurvey),” katanya lagi.

Peminjam yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan akan tetap menerima proses segera dan lancar memandangkan bank di kawasan yang terjejas akan terus beroperasi di bawah prosedur operasi standard yang bersesuaian.

“Mereka yang tidak dapat melakukan penglibatan secara bersemuka atau mengemukakan dokumen berikutan sekatan pergerakan, boleh menghubungi bank mereka melalui laman web, telefon atau e-mel,” katanya, sambil menambah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga bersedia memberikan nasihat dan bantuan yang diperlukan kepada peminjam individu serta PKS, termasuk pilihan untuk penstrukturan semula hutang.
BERNAMA

Bantuan khas ganti moratorium

Leave a Reply