Bantuan khas ganti moratorium

Sebaran :

Bantuan bersasar ganti moratorium

Moratorium bayaran balik pinjaman yang akan tamat pada 30 September ini dijangka tidak dilanjutkan, namun Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank tempatan sedang merangka program bantuan kewangan bersasar untuk peminjam yang berdepan kesulitan.

Langkah yang menjadi pilihan institusi kewangan itu dimaklumkan dalam sesi taklimat BNM kepada kumpulan penganalisis dan ahli ekonomi yang diadakan di bank pusat berkenaan, kelmarin.

Ahli Ekonomi Affin Hwang Capital, Tan Ei Leen yang menghadiri taklimat itu, berkata BNM sudah memberi isyarat bahawa besar kemungkinan bank tidak akan melanjutkan moratorium itu selepas ia berakhir nanti.

Sebaliknya, beliau berkata, bank akan terus menawarkan bantuan kewangan bersasar dalam bentuk penstrukturan dan penjadualan semula kepada peminjam yang mempunyai masalah pembayaran pinjaman dan syarikat yang terjejas serta berdepan kesulitan kewangan.

“Pada masa sama, pinjaman yang tertakluk kepada penstrukturan dan penjadualan semula, tidak akan diklasifikasikan sebagai ‘rosot nilai’ apabila membabitkan kes yang tulen. Contohnya, peminjam berdepan kekangan atau kesulitan yang bersifat sementara dalam aliran tunai masing-masing,” katanya.

Katanya, ia susulan jangkaan bahawa kerugian kredit (ECL) bank tempatan akan terus meningkat pada tahun ini dan tahun hadapan didorong oleh keadaan ekonomi dalam negara.

Beliau berkata, penurunan permintaan yang mengakibatkan penutupan perniagaan dan pengecilan operasi menjadi antara punca utama kesulitan kewangan syarikat, manakala langkah pengurangan pekerja serta pemotongan gaji pula mencetuskan kekangan kewangan kepada individu dan isi rumah.

“Pada saat ini, kami terus berwaspada terhadap peningkatan penutupan perniagaan, terutama untuk sektor berisiko tinggi seperti berkaitan pelancongan, borong dan runcit, penerbangan, pembinaan, hartanah dan pembuatan,” kata Ei Leen dalam nota penyelidikannya.

Mengulas lanjut sesi pertemuan dengan BNM, beliau memaklumkan, secara keseluruhan, pihaknya berasakan yang bank pusat itu ketika ini optimistik dengan pemulihan ekonomi pada separuh kedua tahun ini.

Sektor perbankan pula, katanya, akan terus disokong dengan kecairan yang ampuh dan penampan modal yang kukuh serta nisbah khidmat hutang (DSR) yang sihat untuk isi rumah dan perniagaan.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kenanga Investment Bank Bhd, David Chong, berkata bantuan kewangan bersasar akan membantu mengurangkan kerugian besar yang mungkin ditanggung bank berbanding moratorium pinjaman automatik untuk semua.

Beliau memaklumkan, BNM lebih cenderung kepada pendekatan bersasar untuk peminjam bermasalah, yang mana proses berkenaan sudah pun dimulakan oleh bank-bank ketika ini, manakala bagi segmen korporat, aktiviti penstrukturan semula pinjaman sedang dilakukan.

Bank pusat itu juga, katanya, menekankan bahawa sejak September 2019, kemudahan penstrukturan semula pinjaman untuk semua segmen, iaitu individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat tidak diklasifikasikan secara automatik sebagai rosot nilai, tetapi ditentukan mengikut kes.

Penganalisis Kanan MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata pihaknya menjangkakan pinjaman tidak berbayar (NPL) akan meningkat pada tahun depan berikutan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan COVID-19 terhadap ekonomi negara.

“Kami tidak mempunyai maklumat atau data yang lengkap untuk membuat unjuran tepat terhadap kadar NPL bagi tahun depan. Namun sebagai perbandingan, kadar ‘Net Impaired Loans’ yang diguna pakai sebagai NPL adalah 0.99 peratus pada Mei lalu.

“Bagaimanapun, kami difahamkan, bank sedang fokus untuk melaksanakan penstrukturan dan penjadualan semula bagi pinjaman bersama peminjam dan ini akan menyederhanakan kadar NPL,” katanya.

Beliau berpandangan, sistem kewangan tempatan mampu berdepan sebarang kemungkinan untuk tempoh akan datang susulan kedudukan kewangan bank di Malaysia yang kekal teguh susulan penampan kukuh seperti kedudukan modal yang tinggi.

Selasa lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat, memaklumkan kerajaan dan bank mengkaji lebih banyak bantuan bersasar kepada peminjam selepas moratorium bayaran balik pinjaman berakhir 30 September nanti.

Beliau dilaporkan berkata, ia termasuk pilihan pembiayaan semula berikutan sebahagian peminjam swasta dan perniagaan kini telah dapat membayar semula pinjaman mereka selepas menjana pendapatan apabila ekonomi dibuka semula pada Mei.

“Langkah seterusnya, (kami) masih berbincang dengan bank (mengenai) pertolongan secara lebih tersasar. Satu contohnya adalah memanjangkan tempoh bayaran, mengubah terma dan syarat, mengurangkan kadar faedah dan memberi pelepasan lain,” kata Tengku Zafrul seperti dilaporkan media.

Terdahulu pada 28 Jun, Menteri Kewangan dipetik berkata, hanya golongan sasar yang terjejas akan menerima moratorium sekiranya ia dilanjutkan dan bukan lagi secara automatik kepada semua seperti sebelum itu.

Setakat 13 Julai lalu, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM55.2 bilion sejak kemudahan itu dikuatkuasakan pada 1 April. Daripada angka itu, RM19.3 bilion dimanfaatkan sektor perniagaan, manakala RM35.9 bilion dimanfaatkan rakyat. BH


Sebaran :

Leave a Reply