Usaha Bersatu Bunuh UMNO Punca Kegawatan Politik

Share

APA yang berlaku sepanjang minggu ini mungkin boleh menjurus kepada kejatuhan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa hari lagi, jika pasukan beliau tidak menguruskannya sebaik mungkin.

Pagi tadi tersebar surat yang kononnya dihantar oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Ahli Parlimen Pekan kepada Yang Dipertuan Agong (Agong) yang menyatakan mereka dan sejumlah Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Walaupun ada penafian kebenaran surat tersebut dari Ibu Pejabat UMNO, namun sehingga setakat ini, tiada sebarang penafian jelas daripada Datuk Seri Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Surat tersebut mungkin benar jika diambil kira penafian ibu pejabat UMNO adalah berdasarkan bil surat keluar.

Namun mungkin sahaja surat tersebut benar seperti mana dakwaan beberapa sumber dalaman kerajaan. Boleh sahaja Ahmad Zahid dan Mohd Najib menandatangani surat yang tidak melalui fail rasmi parti.

Jika Muhyiddin berpendapat surat tersebut benar, maka sudah jelas kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri telah berakhir.

Muhyiddin Telah Jatuh?

Jika pun surat itu palsu, keputusan Biro Politik UMNO untuk mempertimbangkan semula kedudukan dalam kerajaan adalah bahaya terbesar buat Muhyiddin Yassin sekarang.

Secara teknikalnya, pengumuman Biro Politik UMNO itu bermakna Kerajaan Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat (ADR). Beliau hanya belum jatuh kerana belum dibuat pengundian di Parlimen, keputusan Biro Politik itu belum diluluskan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

Walaupun Muhyiddin berasa yakin sebahagian Ahli Parlimen UMNO akan terus kekal menyokong beliau, namun sokongan tersebut tidak bermakna apa-apa kerana kerajaan ini boleh jatuh tanpa sokongan 3 orang Ahli Parlimen (MP) UMNO sahaja.

Ini kerana kerajaan Muhyiddin hari ini hanya mempunyai sokongan 113 orang MP. Jika ada tiga orang MP UMNO membuat keputusan menarik sokongan, maka Muhyiddin tiada pilihan kecuali memaklumkan kepada Yang Di Pertuan Agong bahawa beliau telah hilang majoriti.

Dalam keadaan itu, beliau ada pilihan sama ada mahu meletak jawatan dan membenarkan YDP Agong membuat pemilihan baharu, atau menasihati Tuanku untuk membubarkan Dewan Rakyat bagi diadakan satu Pilihan Raya Umum (PRU) yang baharu.

Dalam biro politik yang memutuskan untuk mengkaji semula kedudukan UMNO mempunyai tidak kurang daripada 6 orang MP iaitu, Ahli Parlimen Bagan Dato (Ahmad Zahid), Putrajaya (Tengku Adnan Tengku Mansor), Mersing (Datuk Ahmad Maslan), Padang Terap (Mahdzir Khalid), Parit Sulong (Noraini Ahmad), Kinabatang (Bung Mokhtar Radin).

Jika diambil kira beberapa Ahli Parlimen lain yang akan turut sama dengan keputusan UMNO nanti seperti Ahli Parlimen Pekan (Mohd Najib Razak), Padang Besar (Zahidi Zainul Abidin), Arau (Shahidan Kassim), Tanjung Karang (Noh Omar), Padang Rengas (Nazri Aziz), Lenggong (Shamsul Annuar), Pasir Salak (Tajuddin Rahman) dan Kimanis (Mohamad Alamin), maka Muhyiddin sukar untuk menampung kekurangan tersebut.

MUHYIDDIN DAN HAMZAH MAHU BUNUH UMNO

Jika kerajaan ini jatuh, ia bukan kerana UMNO tamak kuasa dan mahu kes pemimpin tertentu dilepaskan. Jika ada bukti mana-mana pemimpin UMNO membuat permohonan beliau campur tangan kes mahkamah, Muhyiddin boleh dedahkan.

Semua ini berlaku kerana Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengambil pendekatan untuk membunuh UMNO.

Dalam pelantikan kabinet, UMNO diketepikan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri walaupun merupakan parti komponen terbesar. Jika alasan Ahmad Zahid ada kes mahkamah, mengapa tidak dilantik Timbalan Presiden UMNO?

Boleh sahaja Mohamad Hasan dilantik sebagai senator dan diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Namun itu tidak berlaku kerana Muhyiddin mahu Azmin Ali sebagai timbalan beliau. Muhyiddin mengumumkan sekiranya beliau bercuti, Azmin yang akan memangku jawatan Perdana Menteri.

Apa hina sangat UMNO ini sehingga tidak layak menjadi orang nombor dua walaupun menyumbang kerusi terbesar?

Membunuh UMNO Melalui PN

Semasa menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak timbul sebarang cadangan untuk menubuhkan ikatan politik PN secara rasmi.

Apabila telah mengangkat sumpah, Hamzah Zainuddin dengan pantas menggunakan kuasa beliau sebagai Menteri Dalam Negeri untuk meluluskan pendaftaran PN.

Walaupun Barisan Nasional dan UMNO tidak setuju dengan penubuhan ini, Muhyiddin dan Hamzah tetap meneruskan.

Pada mulanya Pas menyatakan tidak akan menyertai PN jika UMNO tidak sertai. Namun akhirnya parti tersebut membuat keputusan menyertainya tanpa pengetahuan UMNO. Sukar dipastikan mengapa Pas mengambil keputusan menyertai PN yang turut mempunyai kumpulan Azmin Ali. Namun ia adalah hak demokrasi Pas untuk menyertainya.

Mengaoa PN perlu ditubuhkan sedangkan Bersatu boleh sahaja menyertai Barisan Nasional dan Muafakat Nasional. Mereka telah pun dijemput menyertai kedua-dua entiti ini.

Pada hemat penulis, penubuhan PN tidak lain dan tidak bukan untuk untuk membunuh UMNO secara perlahan-lahan.

Oleh Kerana Muhyiddin Perdana Menteri dan Hamzah Menteri Dalam Negeri, mereka dengan mudah ‘memujuk’ parti-parti lain menyertai PN.

Apakah ini perkongsian kuasa yang ikhlas dan bertujuan menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam?

Jika UMNO boleh berlapang dada membenarkan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kabinet, mengapa Bersatu tidak boleh berlapang dada menyertai Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO?

Apakah kerana Muhyiddin telah menjadi Perdana Menteri, maka ia harus menjadi seorang paling berkuasa dalam politik walaupun kedudukan beliau adalah atas ihsan UMNO?

Jadi siapa yang sombong? UMNO atau Bersatu? Apakah UMNO harus terus beralah hanya kerana Muhyiddin mempunyai kuasa?

PRN Sabah

Jika ada pemimpin UMNO menyokong usaha Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pun ia bukan kerana kepentingan diri, namun demi menjaga kepentingan parti UMNO.

Anwar hanya mendakwa mendapat sokongan sebahagian MP UMNO ketika kempen PRN Sabah. Ini bermakna terlalu banyak keputusan-keputusan politik Muhyiddin telah menunjukkan belang sebenar beliau untuk membunuh UMNO.

Apa yang terjadi dalam PRN Sabah sehingga ada MP UMNO sanggup menyokong Anwar?

UMNO telah ditipu dengan permainan silap mata PN. Ketika UMNO bertolak ansur memberi kawasan-kawasan yang dimenangi sebelum ini, PN mensabotaj UMNO dengan menyokong calon bebas dan memberi laluan sekutu mereka seperti PBS dan Star menentang BN.

Bersatu berpakat dengan PBS dan Star untuk meletak calon menentang calon-calon BN. Khabarnya ada juga calon bebas bekas UMNO yang mendapat tajaan besar dari pemimpin Bersatu tertentu sehingga mampu menang.

Melihat senario selepas penamaan calon Ahmad Zahid pasti menyedari UMNO telah ditipu dan dikhianati. Namun beliau tidak boleh berbuat apa-apa kerana autonomi telah diberi kepada UMNO Sabah.

Tidak cukup itu, tiga hari selepas penamaan calon Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua Bersatu Sabah, Hajiji Noor, akan dipertimbangkan sebagai Ketua Menteri Sabah jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang.

Kenyataan Perdana Menteri ini menyebabkan wujud sabotaj di kawasan-kawasan UMNO membabitkan penyokong Bersatu supaya kerana mereka mahu memastikan Bersatu menjadi Ketua Menteri.

Pasca PRN Sabah juga memperlihatkan pengkhianatan berterusan. Jawatan Ketua Menteri dirampas Bersatu dengan cara membawa masuk dua orang calon bebas yang menang menentang UMNO.

Selepas Hajiji telah dipersetujui menjadi Ketua Menteri, Bersatu sekali lagi mungkir janji untuk memberi UMNO potfolio Jabatan Kerja Raya. Potfolio Bung Moktar telah ditukar kepada Kerajaan tempatan.

UMNO Sabah terpaksa membuat bantahan dan keributan sebelum Hajiji mengotakan janji memberi semula potfolio sebagai Menteri Kerja Raya.

Dalam kalangan pemimpin UMNO mula tertanya-tanya apakah hina sangat UMNO ini sehingga terpaksa mengemis dan memberontak untuk memastikan janji ditepati?

Peristiwa-peristiwa ini tentulah menghiris hati dan perasaan pemimpin UMNO. UMNO dibuat seperti ‘pariah politik’ setelah Pas menyertai PN.

Bersatu jelas merancang kematian UMNO. Justeru apakah pemimpin UMNO hanya hendak duduk berpeluk tubuh melihat parti ini dibunuh perlahan-lahan oleh Bersatu?

Jika UMNO tidak bertegas ketika ini, maka dalam PRU akan datang Bersatu akan menggunakan formula seperti di Sabah untuk membunuh UMNO.

Ini bukan soal tamak kuasa, namun pemimpin UMNO ada tanggungjawab kepada 3 juta ahli dan penyokong. UMNO juga belum ada sejarah khianat kepercayaan masyarakat Melayu, bumiputera dan Islam seperti mana Bersatu.

Jika Pas belum lupa, Bersatu telah lebih awal bersengkongkol dengan Anwar dan DAP. Mereka meninggalkan Pakatan Harapan bukan kerana perjuangan agama dan bangsa tetapi kerana melihat parti mereka semakin lemah dan dibenci oleh orang Melayu.

Mungkin kali ini pemimpin UMNO boleh bersatu padu demi menjaga kepentingan parti yang lebih besar. Suara.tv

Muhyiddin akan terus dibayangi Mahathir – penganalisis

Leave a Reply