UMNO belum bincang pendirian terhadap Anwar

Share

KUALA LUMPUR – UMNO belum berbincang mengenai pendirian parti itu terhadap dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu juga tiada dalam agenda perbincangan Mesyuarat Biro Politik UMNO yang dijadualkan malam ini.

Bagaimanapun beliau berkata, sebarang keputusan mengenai perkara itu nanti adalah berdasarkan perbincangan parti dan bukan keputusan peribadi beliau.

“Keputusan (mengenai Anwar) dibuat UMNO adalah berdasarkan kepada proses membuat keputusan… ia secara asasnya bukan keputusan saya seorang.

“Jika ia keputusan parti, maka saya perlu menghormati keputusan parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan kes yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pagi tadi, Anwar hadir ke sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Seterusnya, pada sidang akhbar petang tadi Anwar mendakwa mempunyai sokongan lebih 120 ahli Parlimen selain mendakwa Seri Paduka Baginda akan memanggil ketua-ketua parti untuk input dan pengesahan dokumen sokongan terhadap Presiden PKR itu.

Isu peralihan Kerajaan Pusat? Istana Negara akan keluar kenyataan rasmi petang ini

 

Beri ruang Agong sahkan senarai majoriti ahli Parlimen: Anwar

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu berhubung Al-Sultan Abdullah akan memanggil ketua-ketua parti, Ahmad Zahid berkata, setakat ini beliau belum menerima surat jemputan rasmi daripada pihak Istana Negara.

Ditanya tentang kehadiran Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negara hari ini, Ahmad Zahid mengakui tidak dimaklumkan berhubung berkara itu.

“Beliau (Tengku Razaleigh) tidak memaklumkan kepada saya… saya pun dapat tahu daripada media,” katanya.

Dilaporkan, Tengku Razaleigh dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara, pada 2.40 petang tadi menaiki sebuah kenderaan berwarna hitam.

Kehadiran veteran UMNO itu bagaimanapun tidak disedari pengamal media yang menunggu di Pintu Dua, dan kemungkinan besar kenderaan itu memasuki Istana Negara melalui Pintu Tiga.

-Bernama

Pergeseran dengan istana Johor: Anwar sokong Dr Mahathir

Leave a Reply