Tun M beri bayangan kembali bertanding PRU15

Share

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan akan kembali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan terdapat permintaan daripada penyokongnya yang tidak membenarkan beliau bersara.

Beliau yang pernah dua kali menerajui tampuk pemerintahan negara menegaskan, apabila mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU15 sebelum ini, telah mencetuskan rasa kurang senang dalam penyokongnya.

“Mereka (penyokong) masih mahu saya bertanding. Ada benarnya, kebanyakan orang pada usia 95 tahun sudah tidak lagi aktif. Saya bernasib baik, saya masih berpeluang aktif.

“Namun begitu, mereka nampaknya tidak fikir bahawa saya akan merosot apabila usia makin meningkat. Mereka melihat saya seperti saya sekarang. Jadi, mereka, mahu saya sekurang-kurangnya tidak berkata yang saya tidak akan bertanding (PRU15) kelak,” kata negarawan itu dalam wawancara dengan The Straits Times (ST) Singapura.

Dalam wawancara bersama agensi berita Kyodo berkata, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, beliau akan kekal dalam arena politik untuk tempoh masa yang pendek.

Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu menegaskan, walaupun tidak akan bertanding lagi, namun itu tidak akan menghalang usahanya melawan gejala rasuah melalui parti baharunya, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Saya mahu sedikit masa lagi, tetapi saya fikir saya hanya akan berkhidmat untuk tempoh masa yang pendek. Tetapi saya tidak akan bertanding dalam PRU ke-15,” katanya dalam wawancara itu.

BACA: Dr Mahathir umum tidak bertanding pada PRU15

Sementara itu, dalam wawancara bersama ST juga, Dr Mahathir berkata, beliau tidak dapat bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana penggantinya itu disimpulkan menggunakan strategi seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ‘melemahkan’ semua pihak yang menentangnya.

“Bagaimana mungkin saya dapat menerima Muhyiddin seperti itu?” kata Dr Mahathir sambil menegaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga sedia bekerjasama dengan Najib kerana ‘politik lebih penting berbanding prinsip’.

Sekalipun menolak untuk berdamai dengan Muhyiddin, Dr Mahathir juga mengakui, barisan Ahli Parlimen pembangkang yang ada pada ketika ini juga tidak kurang untuk menentang Perdana Menteri.

Ini kerana, barisan pembangkang juga seperti tidak sealiran ekoran sokongan untuk calon Perdana Menteri tidak mencapai kesepakatan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 September lalu membuat sidang media mengumumkan yang beliau sudah memperoleh sokongan yang cukup bagi membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu sehingga kini masih belum mengemukakan bukti terhadap wakaan beliau selain belum mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan jumlah sokongan yang diperolehnya.

“Anwar ditentang oleh banyak orang. Jika saya tidak diterima, ramai (penyokong Dr Mahathir) akan menarik diri menyebabkan beliau tidak akan memperoleh majoriti.

“Sekarang, dia (Anwar) mendakwa mendapat sokongan 20 hingga 30 Ahli Parlimen (untuk membentuk kerajaan) tetapi mereka semua menafikannya,” ujar Dr Mahathir lagi – Awani

 

Muafakat Nasional ganti BN pada PRU ke-15?

Leave a Reply