Muafakat Nasional ganti BN pada PRU ke-15?

Share

Penyatuan Ummah PAS dan UMNO bakal membawa kebaikan besar dalam politik negara
Umno melalui presidennya Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran ada kemungkinan Muafakat Nasional akan menggantikan BN pada PRU ke-15.

Muafakat Nasional akan menggabungkan Umno dan parti komponen BN dengan PAS dan Gagasan Sejahtera.

Ia selepas pemeteraian Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu yang secara rasminya mengaktifkan “taawun siyasi” dua parti itu.

Jika benar Muafakat Nasional akan mengambil tempat BN dalam PRU akan datang, kemungkinan besar akan berlaku pertembungan dua penjuru dengan Pakatan Harapan (PH) di semenanjung.

Dalam capan perasmian Konvensyen Umno Negeri Terengganu semalam, Zahid mengemukakan tawaran baru atau “new deal” kepada rakyat jika Muafakat Nasional merampas Putrajaya.

Antara yang dikemukakan melalui “kerajaan Muafakat Nasional”, menurut Zahid, pembayaran royalti penuh kepada negeri pengeluar petroleum.

Malah jika diteliti selepas Himpunan Penyatuan Ummah yang lalu, program-program membabitkan pemimpin Umno dan PAS menggunakan tema Muafakat Nasional.

Umno dan PAS yang pada mulanya menggunakan istilah “penyatuan ummah” menukar strategi kepada Muafakat Nasional agar kerjasama yang terbentuk tidak dilihat eksklusif kepada satu kaum saja, sebaliknya membawa agenda perjuangan untuk semua.

Pertemuan saya dengan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa baru-baru ini turut memberi gambaran sama – BN mungkin tidak lagi akan digunakan pada PRU ke-15 selepas mengalami kekelahan bersejarah pada PRU lalu.

Annuar menjelaskan pelbagai program telah dirangka bagi mengukuhkan Muafakat Nasional, khususya di kalangan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC.

Penting untuk meyakinkan parti komponen dan masyarakat bukan Islam terhadap penyertaan bersama PAS dalam Muafakat Nasional.

Umno tidak mahu kehadiran PAS dilihat sebagai ancaman kepada rakan komponenya dalam BN, sebaliknya mereka perlu diyakinkan bahawa kerjasama itu bakal menterjemahkan kemenangan.

Sebenarnya penggantian BN ini bukan perkara baru, malah difahamkan sudah ada cadangan agar penjenamaan semula gabungan itu dilakukan sebelum PRU ke-14 lalu.

Namun pengerusi BN ketika itu yang juga bekas perdana menteri Najib Razak, khuatir penjenamaan semula BN pada saat akhir akan merencatkan perjalanan BN.

Cadangan untuk menjenamakan semula BN timbul kerana imejnya “telah tercalar”. Keputusan PRU ke-12 dan PRU ke-13 menunjukkan penolakan terhadap BN begitu ketara sehinggalah tumbang dalam PRU ke-14 lalu.

BN ditubuhkan pada 1973 hasil inisiatif perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein bagi menyatukan parti pemerintah dan pembangkang selepas tragedi hitam rusuhan kaum pada 1969.

BN menyertai PRU ke-14 bersama 13 parti yang berada dalam gabungan itu.

Namun hanya dalam tempoh sebulan selepas kekalahannya, gabungan itu hanya tinggal Umno, MCA dan MIC.

Penjenamaan semula bukanlah perkara baru, apatah lagi untuk BN yang usianya sudah begitu lama. Ia perlu dilakukan jika parti-parti di dalamnya mahu kembali relevan di mata rakyat.

Bahkan PH yang membentuk kerajaan juga adalah pakatan baru yang selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.

Menarik untuk dilihat, jika benar Muafakat Nasional bakal menjadi bahtera baru kepada pembangkang, sama ada parti-parti BN dan PAS sedia meninggalkan logo dacing dan bulan yang cukup sinonim dengan mereka pada PRU ke-15 nanti.

Oleh HASPAIZI ZAIN
Mkini

(Visited 16 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!