Arahan tutup masjid di Sabah atas nasihat MKN

Share

Penutupan masjid dan surau di Sabah gara-gara kes Covid-19 yang semakin meningkat bergantung kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakr berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat jemaah amat tegas dan jelas.

Sekiranya berlaku wabak, atas nasihat MKN serta KKM, penutupan surau dan masjid akan dibuat berdasarkan pada maslahah semasa dan setempat.

“Setakat ini dasar kita akan ikut keputusan MKN, hatta di masjid apabila ada kes Covid-19 disaran tutup sementara waktu.

“Kita patuh dan ikut tetapi semua masjid di bawah kerajaan negeri mesti ikut SOP kerajaan.

“Macam hari ini kita hendak solat Jumaat, berapa jemaah ikut keluasannya dan jarak. Saya ingin ambil kesempatan untuk meminta pengurusan masjid, Jakim dan majlis agama Islam benar-benar mematuhi SOP ketika menunai ibadah dan juga solat Jumaat di masjid serta di surau. Jadi ikut SOP daripada MKN dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-Yayasan Waqah Malaysia kepada Pertubuhan Kebajikan OKU Autisme Selangor dan Komuniti LGBT Peserta Program Mukhayyam JAKIM di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada masjid dan surau akan ditutup atau dihadkan aktivitinya berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Semalam, Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 25 kes, menjadikan jumlah yang dijangkiti di negeri itu setakat ini 82 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam status Facebook miliknya memuat naik statistik terbaharu.

Menurut statistik itu, kes tertinggi berlaku di Lahad Datu dengan 23 kes dan diikuti Tawau (16 kes).

Sementara, di Kota Kinabalu kes positif turut meningkat dengan 12 kes tetapi Kinabatangan dan Sandakan merekodkan merekodkan lima kes.

Manakala, Beufort, Kunak, Sipitang dan Tuaran masing-masing mencatatkan empat kes.
Daerah selebihnya pula hanya dua atau satu kes sahaja. – MG

Leave a Reply