COVID-19: UUM tangguh pendaftaran kemasukan pelajar Ijazah Sarjana Muda

Share

Universiti Utara Malaysia (UUM) menangguhkan Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2020/2021 secara fizikal yang dijadualkan pada 5 dan 6 Oktober ini kepada 23 dan 24 Oktober depan berikutan keadaan semasa COVID-19 di Kedah.

Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Akademik) UUM, Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali, berkata bagaimanapun, program Minggu Suai Kenal akan berlangsung seperti biasa bermula 7 Oktober sehingga 8 Oktober secara dalam talian.

“Selain itu, sesi pendaftaran kemasukan pelajar lama secara fizikal bagi sesi 2020/2021 turut ditangguhkan kepada 31 Oktober berbanding tarikh asal yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober.


“Bagaimanapun sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) yang akan bermula pada 11 Oktober depan bagi sesi berkenaan tetap akan dilangsungkan secara atas talian,” katanya di sini pada Selasa.

Menurut beliau, kesemua keputusan yang dibuat pihak pengurusan UUM telah diperhalusi sebelum mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Katanya, pengurusan universiti berkenaan turut memantau perkembangan semasa situasi penularan COVID-19 di negeri Kedah dan sentiasa prihatin dengan keselamatan warga UUM.


Pada 21 Ogos lalu, UUM menyatakan kesediaan untuk akur terhadap sebarang arahan yang akan dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terutama berkaitan penangguhan pendaftaran pelajar baharu yang dijadualkan pada Oktober depan berikutan keadaan semasa jangkitan COVID-19. Awani

Leave a Reply