KWSP benarkan pengeluaran caruman Akaun 2 untuk biayai rawatan kesuburan

Mengambil kira pembentangan Belanjawan 2020 tahun lalu, kini pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggunakan wang mereka untuk menjalani rawatan kesuburan.

KWSP di laman Twitter telah mengumumkan pengeluaran kesihatan daripada Akaun 2 diperluaskan untuk rawatan kesuburan bagi ahli dan pasangan yang sah berkahwin daripada segi undang-undang.

Berdasarkan laman web KWSP, caruman tersebut boleh dikeluarkan untuk tiga pilihan rawatan berikut :

  • Inseminasi intrauterine (IUI)
  • Persenyawaan in-vitro (IVF)
  • Suntikan sperma intracytoplasmik (ICSI)

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias mengatakan bahawa Malaysia kini menghadapi trend penurunan kadar kesuburan yang berterusan.

“Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mendorong pasangan untuk memiliki lebih ramai anak melalui bantuan perubatan”, katanya.

Namun tidak dinafikan bahawa kos rawatan kesuburan agak tinggi – rawatan IVF di Malaysia boleh mencecah antara RM4,000 hingga RM30,000 untuk setiap kitaran.

“Menyedari akan hakikat ini, KWSP kini menawarkan pilihan baru di bawah Akaun 2 untuk pengeluaran rawatan kesuburan”.

Mereka yang mahu mengeluarkan caruman mereka perlu menyediakan dokumen sokongan berkaitan prosedur serta ubat yang telah disahkan oleh doktor sebelum dihantar ke KWSP.

Pembayaran boleh dituntut sebelum atau selepas ahli KWSP menjalani rawatan. Jika bil perubatan belum diselesaikan, pengeluaran akan pergi ke institusi perubatan.

Tetapi jika bil telah dilangsaikan maka pengeluaran akan diberikan kepada pemohon.

Antara syarat lain adalah pemohon perlu berusia 55 tahun ke bawah, menggunakan peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan KWSP serta tidak mendapat rawatan alternatif.- KWSP , EraBaru

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker