Kedai serbaneka Ebit Lew, Elews Mart dipecah masuk

Share

Di sebalik ujian kedainya dipecah masuk sehingga menyebabkan kerugian lebih RM4,000, pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew menerimanya dengan lapang dada.

Sekalipun sayu dengan kejadian itu, Ustaz Ebit percaya ada rahmat di sebalik semua itu.

“Ya Allah aku mengadu sedih dan susahku hanya padaMu. Semoga Allah beri pelajaran padanya. Pohon doa semua biar semua jadi asbab kebaikan dan hidayah. Pasti ada rahmat di sebalik semuanya,” kata beliau dalam hantaran di Instagram peribadinya.


Sementara itu, Bernama melaporkan, kedai serbaneka milik Ustaz Ebit di Dataran Villa Putra, Sungai Buloh itu disedari penolong pengurus kedai itu kira-kira 8 pagi selepas mendapati wang tunai di dalam peti besi di premis itu hilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar, pemeriksaan di premis berkenaan oleh pemilik kedai mendapati tingkap di bahagian tandas terbuka dan besi penutup tingkap yang ditinggalkan telah ditemukan.

“Antara barang yang turut didapati hilang ialah wang tunai berjumlah RM3,600, beberapa tin susu, cokelat, gula-gula serta Panadol.


“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedai berkenaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan menunjukkan dua lelaki memakai topi keledar memasuki premis itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut. Awani

Leave a Reply