Luluh hati 19 pemilik rumah lihat kediaman dirobohkan di Sungai Pelempas

SHAH ALAM: Luluh hati 19 pemilik buah rumah Desa Subang Perantau di sini, menyaksikan kediaman masing-masing dirobohkan pihak berkuasa hari ini, selepas kerajaan Selangor memutuskan lot tanah mereka terbabit dengan projek melencongkan Sungai Pelempas di situ.

Kerja-kerja meroboh kediaman di atas 16 lot tanah itu, bermula jam jam 7 pagi tadi, ketika penduduk menganggap tindakan itu sebagai satu kezaliman dan penganiayaan terhadap mereka yang mendiami kawasan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Desa Subang Perantau, Basri Mustapha, berkata permohonan secara berkumpulan untuk 105 lot tanah di situ dibuat pada 1990 dan hanya 16 lot tanah yang belum diluluskan Geran Kediaman Kekal sehingga kini.

“Pada Februari 2018, kerajaan negeri mewartakan sempadan Sungai Pelempas, sedangkan kami membina kediaman di sini lebih 10 tahun sebelum itu, walaupun permohonan geran masih berstatus ‘permohonan’.

“Penduduk berasakan kerajaan negeri akan memberikan kelulusan geran dan sehingga kini masih menunggu kelulusan itu, namun tidak menyangka kerajaan negeri mengambil keputusan merobohkan kediaman kami untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Sepatutnya semasa kerajaan mewartakan perkara itu, mereka sudah mengambil kira kos pampasan untuk rumah-rumah yang perlu dirobohkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Basri berkata, setakat ini penduduk yang kediamannya yang dirobohkan hanya diberikan pampasan di antara RM5,000 hingga RM15,000 dan jelas ia tidak memadai dengan kos dilaburkan membina kediaman di antara RM100,000 hingga RM300,000.

Namun apa yang lebih mencurigakan, katanya mengapa lencongan sungai yang dirancang itu membabitkan lot tanah mereka, sedangkan ada ruang tanah kosong di seberang sungai yang bersempadan dengan tanah milik Malaysia Airports Berhad (MAHB) yang lebih sesuai dan mengikut laluan sungai semula jadi.

“Kediaman kami bukan setinggan, sebaliknya lot tanah dalam status permohonan dan sejak 2016, penduduk atas 16 lot ini diberikan notis kerja meroboh, namun kami masih berharap perkara itu dapat ditangguhkan.

“Sejak itu banyak kali rayuan dibuat termasuk kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar Selangor serta Kementerian Air, Tanah dah Sumber Asli tetapi tidak berhasil.

“Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Desa Subang Perantau turut berusaha menyelesaikan masalah berkenaan, termasuk mengupah juru ukur tanah dan membuat pelan cadangan lain yang lebih baik untuk projek melencongkan sungai berkenaan,” jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya cadangan itu tidak diendahkan dan kerajaan negeri tetap dengan keputusan mereka merobohkan semua 19 kediaman yang berada di atas 16 lot tanah berkenaan.

Setakat petang ini, 17 kediaman selesai dirobohkan, manakala dua lagi pemilik rumah meminta perkara itu ditangguhkan dan diberikan tempoh sehingga 14 September ini untuk mengosongkan kediaman.

Basri berkata, selain jumlah pampasan yang tidak setimpal, penduduk yang terkesan akibat perkara itu juga tidak diberikan kediaman transit sementara.

Mereka hanya ditawarkan kediaman lain menerusi projek Rumah Selangorku di Bandar Rimbayu, namun kediaman itu hanya akan siap dalam tempoh tiga tahun lagi, menyebabkan penduduk berasa teraniaya.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dalam satu surat jawapan kepada pihak persatuan menyatakan projek berkenaan perlu dilaksanakan sebagai projek tebatan banjir di Kampung Melayu Subang.

JPS memaklumkan kajian mereka bersama sebuah syarikat perunding kejuruteraan mendapati jajaran sungai itu adalah semula jadi dan tidak boleh diubah kerana melibatkan struktur tanah di tebing sungai yang boleh membahayakan jika berlaku tanah runtuh.

Pihak JPS turut menjelaskan projek itu memerlukan pengalihan 16 meter untuk mengelak perobohan dan kerajaan negeri perlu menanggung kos kerugian hampir RM1 juta untuk kos bina semula jika ada strutur yang perlu dirobohkan.

Related Articles

One Comment

  1. Kalau nak robohkan.. Pindahkan penduduk dirumah yang sudah siap..bukan 3 tahun lagi baru siap.. Bodoh nau buat koje, tak ada action plan..

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker