MB: Pahang tangguh perintah kosong tanah pada petani durian

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya akan menangguhkan buat sementara waktu semua tindakan bagi menguatkuasa notis pengosongan tanah terhadap petani durian di Raub.

Ini jelas beliau selepas Mahkamah Tinggi Kuantan pada 28 Ogos lalu membenarkan perintah pergantungan sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan kepada 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri itu.

“Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Zainal Azman Ab Aziz pada 28 Ogos yang lalu membenarkan agar pendengaran permohonan kebenaran oleh 111 pekebun haram di Raub bagi semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengosongan tanah yang melibatkan kebun-kebun berkenaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, ditangguhkan sehingga 28 Oktober 2020.

“Sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh mahkamah tinggi, kerajaan negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan,” katanya pada suatu kenyataan hari ini.



Wan Rosdy juga menegaskan kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menindas pekebun-pekebun durian di Raub sebaliknya sekadar bertindak mengikut undang-undang.

Beliau mengulas berkenaan perselisihan antara kerajaan negeri dan pekebun durian di kawasan tersebut.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri tiada berhasrat untuk menindas pekebun-pekebun terbabit.

“Sebaliknya ia sekadar bertindak sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang dan pekebun yang terbabit sewajarnya menjadi warga yang patuh undang-undang dengan mengosongkan tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram selama ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.



Pertikaian timbul apabila Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR) mengadakan usaha sama dan kini menuntut kembali ribuan ekar tanah dari apa yang didakwa sebagai petani durian haram.

Kemudian, seramai 111 pekebun telah memfailkan permohonan ke mahkamah bagi menyemak arahan kerajaan negeri yang menggesa mereka mengosongkan tanah kebun.

Mahkamah Tinggi Kuantan akan mendengar perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 28 Oktober nanti.

Ini bermaksud pekebun durian boleh memulakan operasi ladang mereka buat sementara waktu tanpa campur tangan pihak berkuasa negeri selama dua bulan bermula tarikh ketetapan arahan mahkamah. Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker