Perikatan Nasional Mati Sebelum Dewasa

Share

Tidak sampai dua minggu setelah bocor berita penubuhan Perikatan Nasional (PN), gabungan ini tampak seperti menuju ajal tanpa sempat berlari dalam pilihan raya.

Beberapa hari lalu parti Kongres India Malaysia (MIC) menulis surat kepada Pendaftar Pertubuhan untuk menarik diri dari Jawatankuasa Penaja PN. Alasan penarikan diri adalah mereka telah diberi maklumat tidak tepat bahawa semua komponen Barisan Nasional (BN) akan menyertai PN.

Hari ini, pelancaran logo PN di Sabah yang sepatutnya menjadi pencetus kemunculan parti tersebut dalam Pilihan Raya Negeri Sabah telah ditangguhkan. Walaupun tiada dalam jadual rasmi Perdana Menteri, namun kalangan koridor politik nasional dan Sabah telah mengetahui bahawa ia akan dilakukan hari ini.


Ini kerana telah ada persetujuan tidak rasmi bahawa UMNO, MCA dan PBRS akan kekal menggunakan logo dacing (BN), manakala Bersatu, PAS, STAR, PBS dan SAPP akan menggunakan logo Perikatan Nasional.

Media massa utama juga sudah diberi gambaran sedemikian sejak beberapa hari lalu. Selain SuaraTV, Malaysia Insight dan Malay Mail turut melaporkan hal yang sama. Malangnya beberapa jam sebelum pelancaran khabarnya ia telah dibatal atau ditangguhkan.

Difahamkan selain Bersatu, hanya Pas yang bersetuju menggunakan logo PN untuk PRN Sabah. Star, PBS dan SAPP enggan memberi komitmen yang sama setelah melihat MIC menarik diri dari PN.


Mereka menyertai PN sebelum ini dengan anggapan ia akan menggantikan BN. Namun apa yang berlaku ialah UMNO dan MCA kekal dalam BN dan enggan menggunakan logo PN.

Kata dua Majlis Tertinggi BN kepada MIC sama membuat pilihan antara BN dan PN jelas menunjukkan hasrat gabungan tersebut untuk terus kekal berfungsi dalam pilihan raya akan datang.

Tindakan MIC menarik diri dari PN dan kekal dalam BN memberi gambaran BN masih kekal kukuh seperti sebelum ini. Tiga parti pengasas ini kekal mempertahankan sejarah dan masa depannya.


Kegagalan melancarkan logo PN untuk PRN Sabah ini memberi gambaran kemungkin gabungan ini hanya tinggal Bersatu, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Persoalan lebih menarik ialah selama mana Pas akan kekal dalam PN, yang ditubuhkan dengan keghairahan untuk menubuhkan kerajaan yang lebih kuat dalam PRU15 setelah ia tampak gagal bertatih apatah lagi mahu berlari.

Dalam kepimpinan Pas sendiri telah berlaku perbincangan dan perbezaan pendapat apabila menyedari UMNO tidak akan menyertai PN. Malah perbincangan kedudukan Pas dalam PN menjadi lebih serius apabila Bersatu menerima kumpulan Datuk Seri Azmin Ali.

Pas walaupun menyertai kerajaan Perikatan Nasional namun tidak bersedia membawa bersama imej Azmin Ali yang tercemar dengan dakwaan skandal memalukan. Justeru parti tersebut agak kecewa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat keputusan menerima Azmin selepas penubuhan PN.

Jika Pas bertekad mempertahankan kompas moralnya, maka parti itu mungkin akan meninggalkan PN dalam masa terdekat.

Jika ini berlaku kita mungkin menyaksikan sejarah tersingkat sebuah gabungan parti politik yang dibentuk selepas menjadi kerajaan. – SuaraTV

Ab Jalil Backer

Leave a Reply