KVDT 2: Selepas batal, kenapa Guan Eng lantik kontraktor yang sama?

Sepucuk surat setebal tujuh muka surat daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) kepada Lim Guan Eng pada 2019 kini beredar di laman-laman sosial.

Intipati surat yang ditulis oleh Mohd. Rani Hisham Samsudin itu antara lain meminta supaya Kementerian Kewangan yang diterajui Guan Eng ketika itu menimbang semula hasrat untuk melantik Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. (DMIA) bagi Sistem Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2).

Menurut Mohd. Rani Hisham, DMIA mempunyai prestasi buruk semasa menjayakan projek KVDT fasa 1 yang bermula pada Mei 2016. Projek berkenaan dijayakan hasil usahasama di antara DMIA dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, diberi nama Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd. (DM-LTAT).

Melalui surat berkenaan, beliau turut memaklumkan masalah-masalah yang dihadapi oleh DMIA sehingga menyebabkan kelewatan KVDT 1 siap.



Antaranya, produktiviti rendah kerana kekurangan tenaga mahir, peralatan pembinaan yang tidak lengkap, pembekalan bahan mentah yang tidak mengikut standard, kelemahan perancangan kerja, dan kekurangan pekerja yang cekap.

Selain menyebabkan projek tersebut lambat siap berbanding jadual asal, ia juga mengakibatkan jumlah penumpang komuter merosot dan syarikat kehilangan pendapatan kerana kapasiti landasan yang terhad serta tidak mampu memenuhi kehendak pelanggan.

Ini kerana, sistem pengurusan dan pengendalian projek yang lemah oleh DMIA.

Untuk rekod, selepas mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan telah membatalkan KVDT 2 dengan alasan kos yang terlalu tinggi dan mahu projek tersebut dijalankan melalui tender terbuka.



Namun apa yang menjadi persoalan ramai pihak apabila Kementerian Pengangkutan yang diterajui Anthony Loke mengumumkan Kabinet memutuskan untuk menganugerahkan kontrak itu semula kepada DMIA dengan alasan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Salinan surat tersebut turut disampaikan kepada Anthony.

Beberapa bulan selepas surat ini ditulis, Mohd. Rani Hisham digantikan dengan Datuk Ir Kamarulzaman Zainal apabila kontraknya tidak lagi disambung.

Komen-komen di media-media sosial meminta Guan Eng dan Anthony untuk menjawab kebenaran dakwaan yang dilontarkan oleh Mohd. Rani Hisham itu.



Apatah lagi apabila PH sanggup membatalkan projek mega di bawah BN semata-mata mahu mengamalkan tender terbuka tetapi membuat keputusan untuk melantik kontraktor yang sama sedangkan KTMB sebagai klien sudah menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap prestasi kerja DMIA. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker