Koperal polis ditahan kerja ditangkap kerana menyamun, 2 rakan diburu

Seorang koperal polis yang kini ditahan kerja diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes samun melibatkan seorang wanita warga China di sebuah kedai makan di Pandan Perdana, dekat sini, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, suspek bersama 2 lelaki menghampiri mangsa berusia 29 tahun yang sedang minum di kedai makan berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Beliau berkata, suspek bertindak memegang kedua-dua belah tangan mangsa yang bekerja sebagai jurujual sebelum menarik mangsa ke kawasan letak kereta dan mangsa menjerit meminta tolong.

Orang awam datang membantu mangsa dengan suspek berumur 46 tahun itu berjaya ditangkap, manakala 2 rakannya yang berjaya melarikan diri kini diburu polis.



Mangsa tidak mengalami kecederaan, tetapi kerugian wang tunai kira-kira RM5,000 serta barangan solek wanita, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, iaitu samun berkumpulan dan suspek direman 7 hari sehingga Ahad ini,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker