Selangor larang minum arak, hisap rokok di taman awam

Share

SHAH ALAM – Selangor menjadi negeri pertama di negara ini yang menguatkuasakan perintah arahan larangan aktiviti meminum arak, menghisap rokok di taman-taman awam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dua aktiviti itu sekiranya tidak dibendung ia akan menyumbang kepada pelbagai gejala serta isu negatif.

“Biarpun dua aktiviti ini dilakukan oleh sebahagian kecil masyarakat namun sekiranya tidak dibendung ia akan memberikan kesan kepada suasana harmoni dan kondusif sesebuah taman.


“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan pemandangan malah boleh memudaratkan pengunjung yang beriadah bersama keluarga di taman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Larangan Aktiviti Meminum Arak dan Menghisap Rokok di dalam kawasan taman-taman negeri Selangor bertempat di Taman Tasik Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata, larangan meminum arak dan menghisap rokok di taman awam ini akan menjadikan suasana taman lebih selesa.


“Mengambil kira pelbagai faktor maka kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Julai lalu mengambil ketetapan melarang aktiviti meminum arak, merokok termasuk vape di semua taman-taman awam di negeri ini.

“Larangan ini bukan sahaja menjadikan taman-taman awam sebagai sebuah taman yang sihat dan kondusif malahan memberikan keselesaan kepada semua pengunjung terutama warga emas dan kanak-kanak,” katanya

SH


Leave a Reply