17 Ogos putuskan sama ada pembubaran DUN Sabah boleh dibicara

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 17 Ogos ini untuk menentukan sama ada keputusan Yang di-Pertua Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN Sabah.

Perkara itu dibawa ke mahkamah oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan 32 lagi ahli DUN yang memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Fuad berkata mahkamah juga menetapkan 10 Ogos ini untuk hujahan bertulis daripada Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh dan 12 Ogos bagi pihak beliau (Fuad) memfailkan hujahan balas.



Beliau berkata, permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu bagi menentukan sama ada Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin, sebagai responden pertama, telah bertindak mengikut undang-undang semasa membubarkan DUN atas nasihat ketua menteri Shafie Apdal, responden ke-2.

“Kita akan bersidang semula di sini pada 17 Ogos ini untuk hujahan tambahan atau keputusan,” kata Fuad yang ditemui di kompleks mahkamah.

Permohonan itu juga menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri Sabah sebagai responden ke-3 dan ke-4 masing-masing.

Fuad menjelaskan hujahan yang dikemukakan di hadapan Shim ialah Juhar tidak dinasihati secara betul oleh Shafie dalam menggunakan kuasanya untuk membubarkan DUN di bawah perlembagaan negeri.



Pada 30 Julai, Shafie mengumumkan yang beliau menerima kebenaran Juhar untuk membubarkan DUN berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 60 hari.

Ketua menteri itu mendapatkan kebenaran membubarkan DUN selepas Musa, pada sidang media, mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

DUN yang dibubarkan itu mempunyai 65 Adun. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker