10 kes Covid-19 kluster Sivagangga di Perlis

Share

Kluster Sivagangga: 872 penduduk Kuala Sanglang akan disaring- MB Perlis

Seramai 872 orang penduduk di kawasan Sanglang, Perlis akan menjalani saringan pengesanan wabak COVID-19 susulan penularan kluster PUI Sivagangga di kawasan itu.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menjelaskan dua kampung yang terlibat adalah Kampung Kuala Sanglang seramai 560 orang serta Kampung Tanah Timbul melibatkan 312 orang penduduk.


“Kita sekarang ini dalam usaha untuk mencegah, kita kenalpasti kemungkinan individu, jadi kita akan melakukan proses mengenalpasti di dua buah kampung iaitu Kampung Kuala Sanglang dan ini melibatkan 560 orang dan satu lagi di Kampung Tanah Timbul yang ini melibatkan 312 orang,” kata Azlan.

Terdahulu, dalam satu sidang media, beliau mengesahkan 11 kes positif COVID-19 di negeri Perlis termasuk 10 kes baharu yang dicatatkan hari ini.

Perkara terbabit jelasnya akan diumumkan secara rasmi melalui kenyataan atau sidang media yang akan dibuat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) petang ini.


Tambah Azlan, kesemua pesakit termasuk seorang kanak-kanak berusia 3 tahun, seorang pelajar sekolah rendah dan seorang pelajar sekolah menengah merupakan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan pesakit pertama daripada kluster berkenaan di Perlis.

“Saya bagi pecahannya, 10 orang itu, ibu dan bapa, dan ada anak dia, 40 tahun, ada yang berumur 35 tahun, 27 tahun, 16 tahun, 13 tahun, 11 tahun, 21 tahun dan 3 tahun, itu 10 orang, mereka ini semua satu rumah,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut beliau, kesemua pesakit tersebut kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.


Leave a Reply