Skandal Terowong: Guan Eng Bakal Ditahan SPRM Petang Ini?

Share

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijangka akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selewat-lewatnya petang ini.

Menurut sumber dekat SPRM, Guan Eng yang juga merupakan bekas menteri kewangan itu bakal ditahan berhubung skandal projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion.

“Berdasarkan siasatan dan kenyataan saksi yang direkodkan sebelum ini menunjukkan ada kes yang kuat yang mendakwa beliau. Ya, paling lewat petang ini,” kata sumber itu ringkas ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi.


DAP sebelum ini memaklumkan Guan Eng telah berjumpa dengan kumpulan peguamnya bagi membincangkan mengenai kemungkinan dirinya ditahan minggu ini.

Terdahulu Guan Eng telah dipanggil untuk memberi keterangan sebanyak tiga kali

Kali pertama beliau hadir bagi membantu siasatan kes itu ialah pada 26 Julai lepas selama, kira-kira tujuh jam sebelum dilihat meninggalkan pejabat SPRM pada 7.13 malam.


Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa individu dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki, sebelum ini dilaporkan berkata siasatan adalah berkaitan pengubahan wang.

Kes itu disiasat oleh SPRM sejak tahun 2017.


Projek berkenaan dirancang ketika Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). – SuaraTV

Leave a Reply