Musa: Tak perlu bubar DUN, 33 Adun sokong saya

Musa Aman berkata bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti dewan undangan negeri (DUN) Sabah dan layak dilantik menjadi ketua menteri negeri itu yang baru menggantikan Shafie Apdal

Dalam sidang medianya hari ini, Musa berkata beliau kini mempunyai sokongan 33 daripada 65 Adun Sabah.

“Sekarang kita sudah ada majoriti. Ada tiga tahun lagi (sebelum penggal DUN tamat), kenapa harus bubar dewan?

“Adakah ini untuk kepentingan rakyat atau peribadi? Kalau untuk kepentingan rakyat tak perlu pilihan raya baru kerana ini membuang masa dan membuang duit.



“Lagi-lagi sekarang ini kita ada Covid-19. Ini membahayakan rakyat. Tidak perlu lagi ada plihan raya baru. Tidak perlu dewan dibubarkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Musa juga berkata Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin mempunyai tanggungjawab untuk mempertimbangkan sama ada dia mempunyai majoriti atau tidak.

“Saya layak dilantik TYT (Yang Di-Pertua Negeri) untuk jadi ketua menteri Sabah kerana mempunyai sokongan majoriti.

“TYT mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan sama ada saya mempunyai majoriti untuk menubuhkan suatu kerajaan baru untuk Sabah,” katanya.



Musa juga menambah bahawa dia tidak terkejut dengan tindakan Shafie mencadangkan pembubaran DUN.

“Malah kami telah pun menjangkakan kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Justeru, kata Musa, pihaknya akan meminta peguam meneliti perkara itu dan kemungkinan membuat rayuan kepada Yang Di-Pertua Negeri.

Ditanya pemberita sama ada beliau bersedia jika pilihan raya negeri diadakan, Musa berkata: “Kita bersedia. Tapi adakah itu perlu?”



“Perlukah pilihan raya negeri sekarang? Saya percaya tidak perlu. Pilihan raya ada tiga tahun lagi,” sambil mengulangi bahawa ia sebagai “membuang masa dan duit rakyat.”

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah berkata Yang Di-Pertua Negeri sudah memberi perkenan untuk pembubaran DUN.

Ini selepas beberapa wakil rakyat dari Warisan dan sekutunya dari PKR dan DAP beralih sokongan menyokong pakatan yang diketuai Musa.
MalaysiaGazette



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker