Warisilah pusaka ini!

MUHYIDDIN Yassin mengimamkan solat maghrib selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Timbalan Perdana Menteri Bersama Media di Surau Al-Huda, Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Utusan, Kuala Lumpur pada 7 Julai 2015.

TUJUH Perdana Menteri kita memberikan pandangan yang sama tentang Utusan Malaysia.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN, TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD, DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK, TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI, TUN HUSSEIN ONN, TUN ABDUL RAZAK HUSSEIN dan TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ melihat Utusan Malaysia sejak dahulu telah banyak menabur jasa memperjuangkan nasib orang Melayu, Islam dan negara.

Bagi mereka, semangat sedemikian seharusnya dipahat  dalam-dalam pada diri setiap anak muda agar akhbar tertua
di negara ini terus menjadi lidah perjuangan orang Melayu.

Wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM menyingkap semula petikan kata ketujuh-tujuh Perdana Menteri.

MUHYIDDIN YASSIN

“ KERAJAAN tidak boleh menyekat atau menghalang media seperti Utusan Malaysia untuk melaporkan apa-apa perkara yang hendak dilaporkan walaupun ia tidak disenangi oleh pihak lain.



“Apa yang penting ialah media tidak melanggar batas undang-undang, melaporkan perkara secara bertanggungjawab dan matlamatnya adalah untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersatu-padu serta membangun dan bukannya untuk menghancurkan negara.

“Saya percaya sebahagian besar rakyat Malaysia, tidak kira Melayu ataupun bukan Melayu, mengetahui peranan dan sejarah akhbar ini (Utusan Malaysia) yang menuntut kemerdekaan, perjuangkan soal kepentingan rakyat dan menyokong usaha untuk memajukan negara.” – Petikan sidang akhbar Muhyiddin Yassin ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-30 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 April 2011.

DR. MAHATHIR MOHAMAD

“Utusan melalui penerbitan media massa telah memainkan peranan yang positif dalam membentuk pemikiran rakyat ke arah keseimbangan dalam sikap, pemikiran dan kefahaman dalam pelbagai isu melibatkan masa depan, nasib dan hak bangsa dan negara.” – Catatan pena Dr. Mahathir sempena sambutan 60 tahun Utusan Melayu yang
disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 1998.

Dr Mahathir Mohammad membaca surat khabar Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, sekembalinya daripada lawatan luar negara pada 27 Jun 2000. – Foto: ASWAD YAHYA

NAJIB TUN RAZAK

“JIKA Utusan sebagai sebuah akhbar yang merupakan suara dan lidah keramat orang Melayu maka lambang imej Utusan juga merupakan lambang dan imej kejayaan orang Melayu.



“Ingatlah Utusan dibangunkan atas keringat, air mata dan darah orang Melayu. Oleh itu jangan dipersia-siakan pengorbanan mereka. Di atas titik peluh dan titisan air mata pejuang terdahulu, marilah kita terus beristiqamah memperkasa dan memartabatkan Utusan.” – Petikan ucapan majlis pecah tanah bangunan baharu Ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di Kuala Lumpur pada 20 Mei 2010.

Najib Tun Razak membaca akhbar Utusan Malaysia pada sessi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

HUSSEIN ONN

“SESUNGGUHNYA Utusan Malaysia merupakan akhbar tulen kebangsaan yang bertindak sebagai lidah penyambung bangsa Melayu pada masa itu. Melalui akhbar ini, orang Melayu telah disatupadukan.

“Sebagai salah sebuah akhbar tertua di negara ini, Utusan Malaysia sentiasa menjadi bahan kajian ahli-ahli sejarah dan kebudayaan. Segala perkembangan dan kemajuan masyarakat Melayu baik dalam apa bidang pun dapat dikesan melalui akhbar ini. Corak dan peranannya
adalah juga sering berubah dan telah menjadi medan forum bagi para cerdik pandai Melayu.” – Petikan ucapan ketika merasmikan kilang percetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 16 Mei 1977.

Hussein Onn melihat suratkhabar Utusan Malaysia yang baharu dicetak sambil mendengar penerangan dari Pengurus Kilang Utusan, Amir Hassan. pada 16 Mei 1977.

ABDUL RAZAK HUSSEIN

“SAYA suka menegaskan pada hari ini, rahsia kemajuan dan perkembangan Utusan Melayu dari dahulu hingga sekarang yang saya fikir patut diketahui oleh rakyat negara ini khasnya orang Melayu.



Rahsia itu ialah ketabahan hati untuk berdiri di atas kaki sendiri, semangat pengorbanan untuk berjasa kepada bangsa, tanah air dan agama, kegigihan untuk mengatasi setiap rintangan kerana hendak menunjukkan kepada dunia bahawa bangsa Melayu juga mampu menjalankan perusahaannya sendiri dengan tenaganya sendiri.

“Maka wajiblah dan menjadi tanggungjawab saudara-saudara yang mewarisi pusaka ini daripada penaja-penaja dan pengasas-pengasas syarikat ini yang sekarang menjadi pusaka orang Melayu supaya perusahaan ini kekal menjadi satu institusi, satu lambang kebolehan dan kemampuan anak-anak Melayu untuk berdikari.” – Ucapan dalam majlis perasmian bangunan tambahan
Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 22 Jun 1972.

ABDUL Razak Hussein memerhatikan kerja-kerja mencetak akhbar ketika merasmikan bangunan tambahan Utusan Melayu di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 22 Jun 1972.

TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ

“UTUSAN Melayulah yang menjadi lidah orang ini (Melayu) sejak dahulu hingga sekarang, sentiasa memperkatakan hal-hal berhubung dengan orang Melayu umpamanya mengenai hal-hal pelajaran anak-anak Melayu, ekonomi orang Melayu dan kebudayaan orang Melayu.” – Petikan ucapan perasmian bangunan tambahan Utusan Melayu pada 9 Februari 1965.

TUNKU Abdul Rahman berucap pada majlis perasmian bangunan tambahan Utusan Melayu di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 9 Februari 1965.

ABDULLAH AHMAD BADAWI

“SENANG pegang, senang baca dan muka depannya cantik, insya-Allah (akhbar ini) akan berjaya.’’ – Ucapan pelancaran Kosmo!
di Kompleks Sri Utusan, Bangi, Selangor pada 30 Ogos 2004.



ABDULLAH Ahmad Badawi membaca akhbar Kosmo selepas melancarkan akhbar itu di Kompleks Sri Utusan, Bangi pada 30 Ogos 2004.

Utusan Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker