Antara kemuliaan dan tanggungjawab · MYKMU.NET

Antara kemuliaan dan tanggungjawab

Share

HAKIKATNYA, pemimpin adalah wadah kesejahteraan dan kemakmuran hidup sesebuah negara. Hierarki pemimpin bermula sebagai ketua keluarga sehinggalah kepada ketua negara. Apabila bergelar pemimpin, selayaknya mereka dimuliakan kerana banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Bagi ketua keluarga, isteri dan anak-anak akan memuliakannya. Begitu juga pemimpin sesebuah organisasi akan dimuliakan oleh pekerjanya. Begitulah juga pemimpin masyarakat, negeri dan negara akan dimuliakan oleh rakyatnya. Pun begitu, masih ramai pemimpin yang begitu seronok dengan kemuliaan tersebut, namun gagal untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin.

Sebetulnya, pemimpin yang sukakan kemuliaan tetapi menjarakkan diri untuk bertanggungjawab kepada orang yang dipimpinnya seumpama daun pisang kering yang perlu dipotong supaya tidak mengganggu daun pisang baharu yang hendak bercambah. Sebaliknya, pemimpin yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik seumpama pelepah kelapa yang jatuh dengan sendiri apabila cukup masanya.

Kenapa begitu? Ini kerana pemimpin yang hanya cintakan kemuliaan akan tetap mempertahankan jawatannya walaupun tidak bertanggungjawab, manakala pemimpin yang telah melaksanakan tanggungjawab dan tidak menghiraukan kemuliaan akan turun dengan sendirinya bagi memberi peluang kepada orang lain untuk menggantikan tempat mereka.

Fenomena pemimpin yang hanya pentingkan kemuliaan berlaku sepanjang zaman dan merentasi semua tempat. Natijahnya, pemimpin tersebut akan tetap jatuh tersungkur kerana tidak diberkati oleh ALLAH SWT.

Walaupun mengambil masa lama, mereka tetap jatuh seperti difirmankan dalam al-Quran, hadis-hadis Nabi, catatan sejarah dan sebagainya. Namun, hal itu tidak sedikit pun menjadi pengajaran kepada pemimpin berkenaan, sebaliknya mereka berterusan dengan sikap sebegitu seumpama dunia ini milik mereka dan tiada neraca keadilan di akhirat nanti.

Berkaitan hal tersebut, Ibnul Jauzi menerusi kitabnya Talbis Iblis atau tipu muslihat dan perangkap iblis telah menggariskan beberapa perangkap iblis kepada pemimpin agar terjerumus ke jurang kehancuran.

Menurut beliau, perangkap iblis yang paling utama adalah menjadikan pemimpin tersebut percaya bahawa mereka dicintai ALLAH SWT kerana telah dipilih sebagai pemimpin. Walhal, mereka telah lupa amanah dan tanggungjawab oleh ALLAH SWT kepada mereka. Selain itu, mereka juga mula sombong dan payah untuk bergaul dengan masyarakat.

Malah, mereka juga memilih pembantu yang tidak amanah, cekap dan berilmu sehinggakan hanya pandai menjaga dirinya dan mengetepikan hak rakyat. Mereka juga begitu boros menggunakan wang negara bagi perkara yang tidak perlu dan tidak memberikan hak kepada mereka yang berhak.

Paling dikasihani, mereka telah dibisikkan oleh iblis bahawa mereka telah melaksanakan kewajipan dengan cukup baik sedangkan banyak lagi tanggungjawab sebagai pemimpin tidak dipenuhi oleh mereka.

Pasca-Covid-19 amat memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara supaya boleh memberi manfaat kepada seluruh masyarakat. Sebetulnya, kemuliaan sebagai pemimpin adalah kerana telah berbudi kepada rakyat dan negara. Apalah guna berkereta besar, disambut dengan meriah di mana-mana sahaja dan menerima pelbagai jenis elaun serta pengawal peribadi yang dibayar daripada perbendaharaan negara tetapi tidak mempedulikan masalah rakyat.

Pada hari ini, pengangguran semakin meningkat, orang susah semakin ramai dan kuasa beli semakin rendah. Rakyat perlukan pemimpin yang bertanggungjawab dan bukannya masih seronok dibuai dengan kemuliaan.

Ingatlah, menurut Abu Maryam al-Asadi R.A meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa beliau bersabda: “Barang siapa yang ALLAH SWT serahkan sebahagian daripada urusan kaum Muslimin, lalu dia menutup diri daripada mereka dengan tidak menunaikan hajat, keperluan serta kemiskinan mereka, maka ALLAH SWT akan menutup diri-Nya daripada hajat, keperluan dan kemiskinannya.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Insaflah sebelum tersungkur.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Leave a Reply