Wanita mati dibunuh di ladang kelapa sawit

Share

GOMBAK – Seorang wanita warga asing ditemui mati dibunuh di ladang kelapa sawit di Kundang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan menemui mayat wanita berusia 40-an di sebuah rumah dalam ladang tersebut pada jam 6 petang.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati mayat wanita tanpa pengenalan diri berusia 40-an ditemui terbaring dengan berpakaian lengkap.


“Berdasarkan pemeriksaan awal mangsa dipercayai warga asing.

“Terdapat kesan tetakan pada bahagian muka, kepala dan tapak tangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Arifai berkata, polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian dan tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi.


“Berdasarkan kepada keadaan mayat, mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan proses bedah siasat akan dijalankan pagi esok (hari ini),” katanya.

Beliau berkata, lokasi kejadian merupakan kawasan terbiar bersebelahan dengan Kelab Golf Tasik Puteri, Kundang.


“Jarak dari jalan besar ke lokasi mayat ditemui kira-kira 400 meter dalam ladang,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Kolanthaivelu Raman di talian 03-61262222 atau 019-2579232.

“Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Leave a Reply