‘Lonjakan kes harian tidak hanya di Malaysia’


Pertambahan kes harian COVID-19 secara mendadak bukan sahaja direkodkan di Malaysia, malah turut berlaku di beberapa negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata India yang berada pada kedudukan kedua tertinggi dunia merekodkan 15,317,714 kes dengan 96,982 kes baharu.

Beliau berkata, negara itu hanya mencatatkan kurang 20,000 kes harian awal tahun ini.

“Indonesia mencatatkan jumlah peningkatan kes COVID-19 yang ketara sejak dua minggu lalu dengan purata sebanyak 5,453 kes disusuli Thailand dengan 1,547 kes baharu serta dua kematian dalam tempoh 24 jam.



“Jumlah terkini kes baharu itu menjadikan Thailand mencatatkan lebih 1,500 kes harian COVID-19 dalam masa tiga hari berturut-turut selepas hanya mencatatkan purata kes harian kurang dari 100 kes pada 4 April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes harian COVID-19 yang direkodkan di seluruh dunia kini melonjak ke 142.71 juta kes dengan angka kematian melebihi 3.04 juta.

Katanya, Amerika Syarikat (AS) adalah negara paling teruk terjejas dan berada pada kedudukan tertinggi dari segi jumlah kes dan kematian, masing-masing sebanyak 32,475,043 dan 581,542 kes.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata tidak timbul sebarang kesangsian terhadap sistem pengurusan data COVID-19 dan juga data harian yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada umum.



“Setiap negara perlu memastikan semua data harian serta data klinikal COVID-19 adalah tepat dan sahih. Oleh itu, sistem pengurusan data yang digunakan perlulah telus dan mempunyai integriti.

“Semua keputusan ujian yang dijalankan sama ada di klinik kesihatan kerajaan, hospital, mahupun fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta adalah wajib dimuat naik ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Sistem ini sentiasa dipantau oleh KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi memastikan tindakan susulan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, data dari semua negeri diterima oleh pihaknya selewat-lewatnya jam 12 tengah hari oleh pasukan pengurusan data di CPRC Kebangsaan.



“Seterusnya data ini dianalisa dan diverifikasi sebelum ianya didaftarkan. Semakan terhadap semua data akan dilaksanakan oleh pegawai di CPRC KKM.

“Data yang sudah didaftarkan sebagai data harian Malaysia kemudiannya akan diguna pakai untuk analisa epidemiologi situasi COVID-19 di Malaysia termasuk trend kes, kadar kebolehjangkitan, kluster-kluster COVID-19, kapasiti hospital dan makmal serta keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan.

“Kesemua maklumat yang sudah disemak ini kemudiannya akan disunting untuk penyediaan Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan dan perlu mendapat pengesahan akhir oleh Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya.

Tambahnya, proses yang sama ini dijalankan setiap hari oleh petugas di lapangan serta di Bilik Gerakan PKD, JKN dan CPRC Kebangsaan.



“Semua anggota kesihatan yang terbabit dalam pengurusan data di daerah sehingga ke peringkat kebangsaan adalah tertakluk kepada undang-undang berkaitan dan diwajibkan untuk menjaga kerahsiaan data pesakit COVID-19,” katanya. BH

Terus patuhi SOP sehingga imuniti kelompok tercapai, kata Noor Hisham



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker