Mat Sentul masih sihat, masih keletah berlawak jenaka


JOHOR BAHRU: “Tora datang lagi kali ini dengan permainan baru bola besi…” itu bait-bait dari iklan makanan ringan yang terkenal era 80-an yang dilantun pelawak dan pelakon veteran filem Melayu, Abdul Rashid Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentul.

Masih keletah dengan lawak jenakanya yang bersahaja, Mat Sentul membuktikan dia masih sihat sekali gus menafikan dia terlantar sakit seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Anak kelahiran Muar yang pernah membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic itu berkata keadaan kesihatannya ketika ini baik dan masih mampu berjalan termasuk ke bazar Ramadan untuk melihat kuih-muih kegemarannya.

Mat Sentul, 88, yang pernah aktif menghasilkan iklan televisyen dan radio antaranya Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo, kini tinggal berdua dengan anak lelakinya, Roslee Rashid, 59, di kediaman itu sejak kematian isteri, Jamilah Kasri, 71, pada Disember lepas, turut menghabiskan masa dengan menulis skrip.

“Saya sihat.. petang ini saya nak pergi bazar nak tengok-tengok apa yang ada.. saya suka makan kuih-muih yang lembut.. Saya pun ada tulis skrip yang saya akan hantar pada orang tengah.. skrip biasa makan masa setahun juga.

“Nak petua awet muda… makan sambal belacan… cuba tengok orang Melaka semua cantik-cantik,” katanya berseloroh sambil disambut ketawa pelawat yang hadir ke rumahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Masyarakat Johor Zaiton Ismail serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru yang menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang tunai kepada Mat Sentul di rumahnya.

Beliau berkata selain bantuan bakul makanan, Mat Sentul juga akan menerima bantuan RM500 dari JKM setiap bulan bermula Mei tahun ini.
“Sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan kepada seniman ini kita amat alu-alukan,” katanya. Bernama

Mat Sentul semakin uzur, sering merindui rakan-rakan artis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker