Perbincangan pembukaan semula sempadan dengan Singapura positif – Hishammuddin

PUTRAJAYA: Perbincangan antara Malaysia dengan Singapura mengenai pembukaan semula sempadan kedua-negara adalah positif, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Saya agak positif, tetapi sudah tentu akan ada pihak yang melihatnya secara negatif, tetapi mereka tidak terbabit dalam perbincangan dan tidak tahu apa yang saya telah bincangkan dengan Menteri Luar Singapura,” katanya.

Hishammuddin turut memberi jaminan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura akan memberi tumpuan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.

Berdasarkan perbincangannya dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju mengenai kepentingan SOP dan protokol kesihatan.



“Apa yang penting adalah mengambil pendekatan langkah demi langkah untuk memastikan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara berjalan lancar dan selamat serta memberi manfaat kepada kita dalam semua sektor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, sekiranya pembukaan semula sempadan tidak dapat dilakukan dengan jiran terdekat Malaysia itu, sukar untuk melaksanakan konsep ‘green bubble’ dengan negara-negara lain.

Konsep ‘green bubble’ membabitkan langkah melonggarkan sekatan perjalanan antara dua atau lebih negara yang mencatatkan kes penularan dan jangkitan tempatan COVID-19 yang rendah.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat Menteri Luar ASEAN hari ini turut memperhalusi keberangkalian untuk membenarkan pergerakan rakyat antara dua negara dalam rantau ASEAN yang dikategorikan sebagai ‘hijau’ atau lebih dikenali dengan konsep ‘green bubble’.



“Pergerakan rakyat antara negara penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya sambil menambah, konsep ‘green bubble’ mungkin dibangkitkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 esok yang akan berlangsung secara maya.

Katanya, Wisma Putra sedang memikirkan kaedah terbaik mengenai pelaksanaan konsep ‘green bubble’.

Berhubung isu pelarian Rohingya, Hishammuddin berkata, isu itu bukan mudah untuk diselesaikan, terutama ketika berdepan COVID-19.

Beliau berkata, apa yang penting, isu itu perlu dibincangkan secara rasional dan tanpa emosi, serta menyuarakan kebimbangan Malaysia di platform ASEAN.



Hishammuddin berkata, perkembangan di wilayah Rakhine dibincangkan semasa mesyuarat Menteri Luar ASEAN semalam dan berharap isu itu dapat dibangkitkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 esok. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker