Anak Tun M, anak Najib, anak rakyat

Untuk rekod, sebelum itu Riza Aziz didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram (AMLATFAA) yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman maksimum 15 tahun penjara.

Najib membalas dengan beberapa pendedahan. Pertama ialah berkenaan Mirzan Mahathir yang membangunkan Konsortium Perkapalan pada tahun 1990-an yang kemudiannya diselamatkan (bail-out) oleh Petronas melalui MISC sewaktu krisis ekonomi pada tahun 1998.

Menurut Najib, pada tahun 1996, Mirzan juga membeli Diperdana Corp daripada adik lelaki Vincent Tan iaitu Danny Tan – hanya dua tahun selepas Danny membeli syarikat tersebut.

Seterusnya, Najib mempersoalkan transaksi pada tahun 1997 apabila seorang lagi anak lelaki Dr Mahathir iaitu Mokhzani yang menjadi pemegang saham terbesar kumpulan Hospital Pantai selepas membelinya daripada Kumpulan Berjaya yang dikawal Vincent Tan.



Susulan daripada pembelian tersebut, Najib menyatakan bahawa konsesi FOMEMA dan juga kontrak bekalan hospital kerajaan telah dianugerahkan kepada kumpulan tersebut ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Kritik

Pendedahan berikut Najib adalah berkenaan Kumpulan Kencana yang ditubuhkan oleh Mokhzani hanya setahun sebelum ia dianugerahkan lesen fabrication utama daripada Petronas pada tahun 2002. Malah, Najib turut mempersoalkan tender kontrak secara rundingan terus yang dianugerahkan kepada seorang lagi anak lelaki Dr Mahathir iaitu Mukhriz pada tahun 2003 iaitu Opcom.

Syarikat tersebut dianugerahkan kontrak bernilai RM214 juta daripada Telekom Malaysia melalui arahan langsung daripada Kementerian Kewangan. (Najib juga mendedahkan surat tersebut di laman FB beliau.)



Tidak ketinggalan, Najib turut mengkritik ketika penggal kedua Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri di mana Pelan Fiber dan Rangkaian Seluruh Negara (NFCP) yang bernilai RM21.6 bilion ialah satu-satunya projek mega yang disegerakan dan diumumkan oleh kerajaan PH dan diluluskan oleh Kabinet dalam masa yang singkat.

Najib turut mempersoalkan bahawa saham Opcom yang majoritinya dimiliki dua anak lelaki Dr Mahathir melonjak 50 peratus apabila projek tersebut diumumkan kerana ia merupakan antara pihak yang mendapat manfaat daripadanya.

Pertembungan antara kedua-dua orang bapa itu ternyata cukup sengit. Namun hakikatnya, rakyat marhaen masih perlu untuk kembali ke dunia realiti: dari segi material, anak-anak Dr Mahathir dan anak-anak Najib kedua-duanya boleh dijangka tidak terlalu terkesan dengan pandemik Covid-19 – tidak kiralah bapa siapa yang akan memenangi perdebatan terbuka ini – tidak seperti mana anak-anak rakyat biasa khususnya mereka yang hilang pekerjaan.

Maka adalah lebih elok kiranya ahli politik kita saling bekerjasama untuk menangani isu anak-anak rakyat yang terkesan ini, seperti mana mereka bersungguh-sungguh mempertahankan anak masing-masing.



Selamat Hari Bapa.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

SH



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker