Malaysia bersedia pemulihan ekonomi menjelang 2021

Share

KUALA LUMPUR – Sejajar dengan pembukaan ekonomi negara yang menyaksikan hampir 70 peratus tenaga kerja telah mula bekerja melibatkan beberapa sektor ekonomi, Malaysia kini berada pada kapasiti yang bersedia bagi pemulihan ekonomi menjelang 2021, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Kita perlu bangun semula untuk mencatatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang positif, berbanding KDNK negatif yang dijangka dicatatkan pada tahun ini, iaitu selaras dengan pertumbuhan ekonomi dunia,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama bagi dokumentari ‘Malaysia Bersatu Lawan Covid-19’ yang disiarkan menerusi Bernama TV.

Tengku Zafrul berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi global bakal mencatatkan ‘penguncupan’ ataupun pertumbuhan negatif sebanyak tiga peratus berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dan sepertimana negara-negara lain, ekonomi Malaysia turut terjejas.

Menurutnya, dalam usaha memerangi kejatuhan ekonomi akibat pandemik tersebut, kerajaan telah mengambil pendekatan 6R iaitu ‘Resolve’, ‘Resilience’, ‘Restart’, ‘Recovery’, ‘Revitalise’ dan ‘Reform’.

Beliau berkata, 1R-Resolve ataupun ketegasan merujuk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan pada 18 Mac, ketika graf Covid-19 negara mencatatkan jumlah kes baharu yang tinggi dan memerlukan langkah-langkah pencegahan untuk meratakan lengkung manakala 2R –Resilience (ketahanan) merujuk kepada pakej rangsangan ekonomi ataupun Pakej Prihatin yang diumumkan kerajaan, memfokuskan kepada rakyat yang terjejas termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro.

“3R-Restart adalah langkah pembukaan semula ekonomi atau penjanaan semula ekonomi negara secara berperingkat dan 4R-Recovery adalah fasa pemulihan yang sedang dilalui negara.

“Kita sedang merangka pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang akan diumumkan pada awal bulan Jun ini,” katanya.

Bagi fasa kelima 5R-Revitalise, Tengku Zafrul berkata, ia akan diumumkan pada bulan Oktober ataupun November tahun ini dengan fokusnya adalah kepada jangka masa sederhana dan yang terakhir sekali 6R-Reform merupakan pelan jangka masa panjang dan memfokuskan kepada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang bakal di umumkan pada Januari 2021.

Menurutnya, bagi merancakkan ekonomi negara, kerajaan telah mengumumkan geran khas prihatin yang mana lebih 649,000 PKS mikro telah membuat permohonan mulai 1 Mei sehingga 15 Mei.

“Kita dalam proses untuk mempertimbangkan permohonan tersebut. Setiap permohonan yang berjaya akan menerima RM3,000 daripada kerajaan. Geran ini bertujuan membantu aliran tunai PKS mikro dan mereka tidak perlu membayar semula geran tersebut.

“Kita tidak boleh berasa puas hati selagi tidak ada vaksin, kita perlu mematuhi Standard Prosedur (SOP) yang ditetapkan kerajaan. Saya yakin bahawa new normal (normal baharu) ini boleh berfungsi dengan baik,” katanya.

Tengku Zafrul sebelum ini berkata bahawa normal baharu ini mungkin menjadi kelaziman yang berkekalan. – Bernama

(Visited 135 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!