Polis suraikan orang ramai berkumpul di depan Masjid Negara

Share

Malaysiakini

Polis hari ini menyuraikan sekumpulan individu yang berkumpul di hadapan Masjid Negara di Kuala Lumpur untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Memetik laporan Astro Awani, kumpulan itu hadir di luar masjid itu, awal pagi ini untuk menunaikan ibadat berkenaan.

Namun, mereka dihentikan oleh polis sebelum solat dan memberi amaran agar tidak berkumpul semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyatakan sebelum ini bahawa hanya pegawai dan kakitangan masjid yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid, surau, dan surau terpilih di zon hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dalam tempoh PKPB.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata bahawa hanya Masjid Negara di bawah zon hijau akan menunaikan solat Jumaat, solat berjemaah, solat tarawih dan solat Aidilfitri.

Sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, jemaah di tempat-tempat ibadat Muslim dan bukan-Muslim akan diterhadkan kepada maksimum 30 orang, bergantung pada keluasan premis.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini telah menjelaskan bahawa orang ramai dibenarkan ke tempat-tempat ibadah dan ia akan dilakukan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada penjaga dan kakitangan tempat-tempat ibadat.

Kelonggaran SOP untuk membolehkan lebih banyak rakyat Malaysia ke rumah ibadat akan bergantung kepada kepatuhan negara terhadap peraturan dan kadar jangkitan.

MK

Leave a Reply