KKM rayu orang ramai derma darah selepas bekalan jatuh 40%

Kementerian Kesihatan (KKM) merayu orang ramai menderma darah susulan kekurangan bekalan darah sebanyak 40% disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya 67,135 beg darah yang mampu dikumpul KKM dari Mac lalu hingga bulan ini berbanding 111,328 beg darah dalam tempoh sama 2018.

“Didapati jumlah kutipan darah sepanjang pelaksanaan PKP hanya 60% daripada jumlah sasaran,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 hari ini.

“Meskipun pelbagai aktiviti promosi yang dijalankan KKM dan rakan media, pencapaian kutipan darah sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sehingga kini didapati belum memuaskan, iaitu hanya 57% daripada jumlah sasaran.



“Penurunan kutipan darah ini amat membimbangkan memandangkan kini lebih banyak perkhidmatan elektif di hospital KKM mula beroperasi, termasuk prosedur pembedahan, iaitu penggunaan meningkat daripada purata 9,000 beg darah seminggu kepada 13,076 beg ketika PKPB.”

Hisham berkata, peningkatan kes kemalangan sebanyak 5 hingga 10% ketika ini juga menyebabkan keperluan bekalan darah meningkat.

“Menjelang sambutan Aidilfitri dan cuti perayaan lain yang bakal tiba, kebiasaannya didapati pola pendermaan darah adalah rendah.

“Susulan itu, KKM menyeru orang ramai untuk menderma darah di Pusat Darah Negara dan tabung darah di seluruh negara agar bekalan darah mencukupi.”



Katanya, operasi pusat menderma darah dilanjutkan sehingga 9 malam sepanjang Ramadan bagi memudahkan orang ramai berbuat demikian selepas berbuka puasa.

Sementara itu, Hisham berkata, ubat dibangunkan sebuah makmal di China yang dipercayai mampu memulihkan pesakit Covid-19 tanpa menggunakan vaksin, perlu diuji keberkesanannya terlebih dahulu.

Beliau berkata, penghasilan ubat itu masih di peringkat awal.

Sebelum ini, media melaporkan ubat yang diuji saintis di Universiti Beijing, China menunjukkan ia mampu memendekkan tempoh penyembuhan dan “memberi” imuniti jangka pendek daripada dijangkiti Covid-19.



Pengarah Pusat Inovasi Lanjutan untuk Genomik Universiti Beijing, Sunney Xie dilaporkan berkata, ubat itu berjaya dalam ujian ke atas haiwan.

Ubat itu menggunakan antibodi peneutralan yang dihasilkan sistem imun manusia bagi menghalang virus menjangkiti sel, di mana kumpulan Xie mengasingkannya daripada darah 60 pesakit pulih.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker