Bekas menteri gesa Putrajaya saman Goldman Sachs kerana salah nasihat 1MDB

Bekas menteri kewangan II Johari Abdul Ghani mencadangkan kepada Putrajaya supaya menyaman Goldman Sachs atas keputusan salah menasihatkan 1MDB hingga menyebabkan kerugian RM28 bilion (AS$6.5 bilion).

Johari berkata, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap bank pelaburan berkenaan dan sekiranya tidak dilakukan, Putrajaya tidak mempunyai pilihan lain kecuali menambah hutang negara dan menanggung hutang sebanyak RM28 bilion berkenaan.

“Terdapat 3 sumber khusus untuk mendapatkan semula aset dan dana 1MDB. Langkah pertama melalui tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs. Kedua penyelesaian pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) melalui mahkamah timbang tara.



“Seterusnya mendapatkan aset dan wang daripada individu yang menerima manfaat tidak sepatutnya daripada 1MDB,” katanya dalam wawancara bersama TV3, pada 15 Mei lalu.

Pada September tahun lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Goldman Sachs, John Waldron berkata bank itu berusaha menyelesaikan isu berkaitan 1MDB dan memulangkan wang melibatkan firma itu kepada negara.

Bekas menteri kewangan II Johari Abdul Ghani
Namun pada Mac lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memetik 2 sumber yang mengetahui mengenai perkara itu berkata jabatan berkenaan menangguhkan pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Goldman Sachs dan beberapa eksekutifnya antara individu didakwa berhubung peranan mereka sebagai penaja jamin dan pengatur 3 jualan bon berjumlah AS$6.5 bilion untuk 1MDB.



Johari berkata, beliau sendiri sudah bertemu dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bagi memberikan nasihat kepadanya mengenai tindakan yang perlu dilakukan Putrajaya bagi mendapatkan kembali wang 1MDB.

“Kita perlu berjuang dengan apa saja cara,” katanya.

Bahkan beliau turut meminta Putrajaya bertindak tegas untuk tidak menerima sebarang penyelesaian dengan mudah. Baginya, nilai aset dan jumlah wang yang dikembalikan kepada negara perlulah setimpal dan wajar.

“Saya ingat pasal kerajaan ini baru, jadi dia masih tidak faham keseluruhan gambaran berhubung kes ini. Jadi, apa yang saya hendak tekankan, kita jangan buat penyelesaian kalau tidak tahu gambaran keseluruhan sebenar kes.



“Gambaran keseluruhan sebenar kes perlu kita tahu baru kita boleh berunding. Kalau kita pergi berunding, tetapi kita tidak tahu gambaran keseluruhan sebenar kes, nanti orang akan mengubah kita, ini sangat penting,” katanya.

Johari turut mencadangkan satu pasukan khas dibentuk bagi mendapatkan semula segala aset dan wang berkaitan 1MDB, termasuk melantik wakil kerajaan untuk berbincang bersama DoJ.

Beliau turut menyatakan kesediaan membantu Putrajaya mendapatkan semula aset dan wang 1MDB.

“Saya kaji semua masalah ini dan cuba dapatkan gambaran tentang semua perkara ini dan sebab itu saya tidak bersetuju dengan penyelesaian dengan IPIC, saya tidak tandatangan sebarang dokumen dengan IPIC sebab saya percaya boleh dapat duit balik,” katanya.



Semasa Putrajaya dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, keutamaannya adalah untuk mendapatkan kembali dana itu, yang dipercayai hilang melalui 1MDB termasuk menuntut pampasan AS$6.5 bilion daripada Goldman Sachs kerana penglibatannya dalam hal 1MDB.

FMT

Penjelasn Najib mengenai “penipuan” Jho Low



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker