Hampir semua sektor ekonomi akan mula dibuka 4 Mei

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini mengumumkan bahawa hampir semua sektor ekonomi akan mula dibuka 4 Mei ini.

Muhyiddin berkata kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersayarat (PKPB) yang akan menyaksikan sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

Perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) bagaimanapun akan terus dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi, katanya.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.



“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, masih ada beberapa industri dan perniagaan tertentu tidak dibenarkan beroperasi.

“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi.

“Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.



“Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya turut berkata, keputusan itu diambil selepas Malaysia telah memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

“Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua telah membuahkan hasil.

“Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati. Dengan ini kerajaan akan melaksanakan PKPB,” katanya.



Enam kriteria itu ialah:

Pertama, kawalan sempadan negara kita telah diperketatkan untuk mengelakkan kes import positif COVID-19 berlaku;
Kedua, kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan;
Ketiga, peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan;
Keempat, keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya;
Kelima, amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai face mask; dan
Keenam, pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.
“Alhamdulillah, pengorbanan kita sepanjang pelaksanaan PKP tidak sia-sia,” katanya.

Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker