Perjuangan keadilan yang panjang

TUJUAN inkues adalah bagi menentukan punca kematian seseorang. Namun keputusan inkues tidak semestinya boleh menentukan perkara tersebut.

Ini kerana Majistret yang bertindak sebagai Koroner dalam prosiding inkues juga boleh membuat keputusan terbuka (open verdict), atau dalam bahasa orang awam, ‘tidak dapat memutuskan punca kematian’.

Ini seperti dalam keputusan inkues kematian pembantu politik seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock, dibunuh tidak, bunuh diri pun tidak. Keputusan inkues itu kemudian dirayu hingga ke Mahkamah Rayuan.

Prosiding inkues juga tidak berhak meletakkan tanggungjawab jenayah kepada mana-mana pihak, senang cakap seperti mensabitkan si A terhadap kematian si B. Lagi pun di Malaysia, bidang kuasa Peguam Negara untuk mendakwa atau tidak.

Jadi kenapa perlu inkues? Tiada sebab khusus digariskan kenapa Majistret perlu menjalankan inkues bagi sesuatu kes kematian, itu atas pertimbangan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya untuk mengarahkan Majistret melakukannya.

Ini mengikut Kanun Acara Jenayah dan amalan ketika ini Koroner dikendalikan seorang hakim Mahkamah Sesyen. Dalam kes kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kemudiannya inkues dibuat atas arahan Peguam Negara dan berdasarkan kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini, inkues diarahkan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Hari ini berakhir prosiding inkues tersebut selepas 41 hari pendengaran dan melibatkan 30 saksi dipanggil. Sepanjang tempoh prosiding yang memakan masa lima bulan ini pelbagai isu melingkari perjalanannya.

Mungkin tidak pernah berbangkit dalam prosiding inkues sebelum ini hal seperti melibatkan peguam Syazlin Mansor dalam kemelut dengan Peguam Negara dan beberapa isu lagi. Berkerut dahi juga memikirkannya yang mengundang pelbagai komen termasuk dari pengamal undang-undang.

Namun secara umum, inkues memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan melibatkan diri dalam proses siasatan Koroner. Dalam kes ini, antara yang diputuskan sebagai pihak berkepentingan termasuk keluarga Allahyarham Adib dan Jabatan Bomba.

Keputusan inkues ini dijangka diketahui tidak lama lagi. Jika bukan keputusan terbuka, maka tahulah rakyat Malaysia apakah punca yang menyebabkan kematian Muhammad Adib dalam kejadian rusuhan akhir tahun lalu berdasarkan siasatan Koroner.

Sekadar maklumat, rayuan kepada keputusan inkues jika ada yang tidak berpuas hati boleh dilakukan selain siasatan semula boleh dilakukan pihak berkuasa kerana tiada had masa ke atas kes jenayah.

Apa pun, sudah banyak masa diambil dan ini baru bab punca kematian. Ternyata perjuangan menuntut keadilan kepada Allahyarham Adib yang meninggal dunia akhir tahun lalu masih panjang. -UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker