Pelajar IPT Yang Tinggal Di Kampus Diberi Kemudahan – Ismail Sabri

Share

Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tinggal di asrama masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam, diberi kemudahan termasuk untuk mendapatkan makanan, kata Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pertahanan meminta agar mereka terus kekal berada di asrama sepanjang penguatkuasaan perintah itu sehingga 31 Mac.

Kemudahan untuk mereka makan seperti kantin dibuka seperti biasa.

“Kelas diberhentikan kecuali kelas dalam talian. Tetapi tidak ada kelas tidak bermakna mereka boleh balik (ke rumah),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bertujuan mencegah penularan baharu wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersetuju menangguhkan pembayaran pinjaman.

Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. – BERNAMA

Leave a Reply