COVID-19: Kerajaan Akan Tanggung Kos Diskaun Elektrik – Dr Shamsul Anuar

Share

Kerajaan akan menanggung kos pemberian diskaun bil elektrik sebanyak RM662 juta, yang mana kos diskaun bagi negeri Sarawak berjumlah RM122.5 juta dan Sabah RM37.5 juta, kata Menteri Tenaga dan Sumber Manusia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Kos ini akan ditampung oleh kerajaan melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik bagi Semenanjung, manakala bagi Sabah dan Sarawak pula, kos pemberian diskaun akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Diskaun elektrik sebanyak dua dan 15 peratus untuk tempoh enam bulan bermula April, 2020, yang diumum semasa Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 adalah sebahagian daripada bantuan untuk meringankan beban rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar berikutan kesan penularan wabak COVID-19.

Shamsul Anuar berkata pemberian diskaun sebanyak 15 peratus kepada enam sektor perniagaan terpilih yang menguna pakai tarif perdagangan dijangka memberi impak pengurangan bil elektrik sebanyak RM40 juta untuk tempoh 6 bulan bagi Semenanjung, manakala bagi negeri Sabah, ia akan melibatkan kos sekitar RM20 juta dan negeri Sarawak dianggarkan RM8.5 juta.

Menurutnya, diskaun 15 peratus ini melibatkan 10 ribu pemilik akaun dari enam sektor iaitu pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

“Bagi pengguna komersial, industri dan pertanian pula akan mendapat diskaun dua peratus.

“Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta pemegang akaun Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan penjimatan bil elektrik dianggarkan berjumlah RM370 juta bagi tempoh 6 bulan,” katanya.

Bagi negeri Sabah, katanya, ia akan memberi manfaat kepada sekitar 99,322 pemilik akaun yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM11.5 juta manakala bagi negeri Sarawak pula, ia melibatkan anggaran kos sebanyak RM107.2 juta untuk 100,000 pemilik akaun.

Pengguna domestik atau rumah kediaman pula akan menikmati penjimatan bil elektrik melalui pemberian diskaun dua peratus ke atas penggunaan elektrik bagi tempoh bermula 1 April sehingga 30 Sept, 2020.

“Ini bermakna rakyat akan menikmati diskaun dua peratus dalam tempoh tersebut sebagai tambahan kepada diskaun enam peratus yang telahpun dinikmati oleh pengguna domestik pada masa ini bagi tempoh 1 Jan sehingga 30 Jun, 2020,” kata Shamsul Anuar.

Ia dijangka memberi anggaran penjimatan bil elektrik sebanyak RM92 juta kepada kira-kira 7.5 juta pemegang akaun TNB untuk tempoh 6 bulan.

Bagi Sabah, katanya, ia akan memberi manfaat kepada 520,378 pengguna domestik dengan kos dianggarkan sekitar RM5.7 juta manakala bagi Sarawak, ia akan memberi manfaat kepada 585,637 pengguna domestik dengan kos dianggarkan sekitar RM6.8 juta – BERNAMA

Leave a Reply