Ringgit rendah susulan KDNK suku ke-4 di bawah jangkaan

Share

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini susulan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang lebih lemah berbanding jangkaan telah mengekang minat pelabur terhadap unit tempatan, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1410/1440 berbanding dolar AS daripada 4.1350/1380 ketika ditutup pada Rabu.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 3.6% pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3%, terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun pertumbuhan tahun penuh dalam unjuran BNM di antara 4.3 dengan 4.8%, ia boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7% tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Beliau turut berkata, bank pusat memiliki banyak ruang untuk melaraskan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mendepani cabaran ekonomi.

Ketua pakar strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata, prestasi lebih rendah itu boleh menimbulkan jangkaan di dalam pasaran bahawa langkah pengurangan kadar faedah akan dilaksanakan lebih awal.

Beliau juga berkata, peningkatan sentimen risiko serantau semakin baik selepas kes jangkitan Covid-19 di China dilihat berkurangan selain kenaikan harga minyak mentah sewajarnya menyediakan sokongan serta-merta kepada ringgit.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9834/9867 daripada 2.9817/9858 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7669/7700 daripada 3.7591/7625.

Mata wang tempatan bagaimanapun naik berbanding euro kepada 4.5021/5070 daripada 4.5150/519 semalam dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3651/3694 daripada 5.3668/3724.

FMT

Leave a Reply