Air zamzam penawar pelbagai penyakit.

AIR zamzam menurut sejarah adalah terhasil daripada hentakan tapak kaki Nabi Ismail AS dan diperoleh dari telaga zamzam yang terletak di antara Safa dengan Marwah.

Telaga ini yang mempunyai kedalaman 30.5 meter (m) dan diameter 1.08 -2.66m dikisahkan sejarahnya di dalam al-Quran, antaranya dalam surah Ibrahim ayat 37 dan terdapat juga dalil kelebihan air zamzam mengandungi khasiat dan penawar pelbagai penyakit seperti diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah, beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda, air zamzam tergantung pada tujuan ia diminum” (Ibnu Majah. Sunan Ibnu Majah. Juz.4, halaman: 249)

Riwayat daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, ‘Air zamzam bergantung pada tujuan ia diminum. Jika engkau meminumnya untuk berubat melaluinya, nescaya Allah akan menyembuhkanmu. Jika engkau meminumnya supaya ia mengenyangkanmu, nescaya Allah akan mengenyangkanmu. Sekiranya engkau meminumnya untuk menghilangkan dahagamu, nescaya Allah akan menghilangkan dahagamu. Air zamzam ialah galian Jibrail dan curahan minuman Allah kepada Ismail.” (Ad-Daraquthni, Sunan ad-Daraquthni. juz.3, halaman 354, hadis: 2739).

Di Malaysia, air zamzam digunakan secara meluas sebagai bahan rawatan penyakit sihir oleh perawat ruqyah syar’iyah.



Aishah mengatakan, “Rasulullah SAW membawa air zamzam pada bejana dan qirbah (tempat air daripada kulit) serta menuangkan pada orang yang sakit dan memberikan mereka minum. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi (970).

Jadi tidak hairanlah ramai perawat Muslim menjadikan air zamzam sebagai ubatan untuk kes-kes sihir.

Kenyataan rasmi Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 13 Mei 2015 mengatakan adalah satu kesalahan menjual air zamzam di Malaysia dan diulang semula kenyataan rasmi ini pada 9 Disember 2017 serta yang terbaru Jabatan Kastam Diraja Malaysia zon tengah Selangor mematahkan cubaan seludup air zamzam bernilai RM2.53 juta seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 24 Disember 2019.

Kenapa air zamzam dikaitkan dengan rawatan penyakit sihir dalam pengubatan ruqyah syar’iyah?



Penjelasan dari sudut naqli sudah banyak dibahaskan serta terdapat banyak dalil al-Quran dan al-Hadis yang mengukuhkan keberkatan air zamzam sebagai penawar penyakit.

Namun begitu, pencerahan dari sudut saintifik belum ramai perawat yang menerokanya kerana keyakinan yang tinggi terhadap hujah naqliah menenggelamkan kepentingan kajian untuk hujah aqliah.

Artikel Mineral Composition and Health Functionality of Zam zam Water: A Review yang diterbitkan dalam International Journal of Food Properties bilangan 17 pada 2014 isu ketiga menemukan 34 elemen air zamzam dengan kandungan kalsium, magnesium, sodium dan klorida air zamzam lebih tinggi daripada air semula jadi yang lain.

Kajian Emoto terhadap air zamzam dan air daripada pelbagai sumber dalam dunia juga mendapati air zamzam mempunyai interaksi dan reaksi istimewa apabila nama Allah disebutkan dan molekul air zamzam membentuk susunan yang unik berbanding sampel air lain.



Beliau tidak dapat menkristalkan air zamzam walaupun selepas mencairkannya sebanyak 1,000 kali. Bagaimanapun, beliau mendapat bentuk kristal yang unik selepas dibekukan, dua kristal terbentuk, satu di atas yang lain.

Artikel itu juga menyenaraikan empat ciri penyembuhan yang berpotensi menggunakan air zamzam iaitu berkeupayaan merangsang aquaporin dengan memberikan pertahanan terhadap beberapa penyakit, seperti katarak kongenital, masalah nefrogenik dan diabetes.

Keduanya, sebagai stimulus untuk sistem reproduktif yang digunakan dalam rawatan kegagalan implantasi, untuk merangsang endometrial prolactin, defensi, luteinizing hormon, endometrial vascular endothelial growth factor dan reseptor angiopoietin.

Kajian Ali et al. menunjukkan air zamzam merangsang pembezaan sel stem di endometrium. Fenomena ini dicetuskan kerana kandungan kalsium dan magnesium tinggi zamzam.



Selain itu, zamzam memberikan lebih banyak sokongan kepada banyak proses biokimia lain dalam endometrium termasuk peranan pentingnya sebagai koenzim semasa pembentukan imunoglobulin.

Air zamzam juga bertindak sebagai antioksidan kerana ia merangsang endometrial nitric oxide dan endrometrial brain derived neurotrophic factor.

Bukti ketiga, kajian secara klinikal mendapati air zamzam membantu mengurangkan karies gigi kerana tahap florida yang tinggi dalam air zamzam.

Terakhir, air zamzam boleh membantu merawat penyakit kanser sebagai diet tambahan.



Sihir adalah penyakit terjadi dengan penglibatan jin yang boleh menyebabkan kerosakan pada sistem badan. Menurut Ibnu Qayyim, “sihir ialah satu perantaraan yang menggunakan pengaruh roh jahat dan memanfaatkan kekuatan alami roh tersebut.”

Oleh kerana kelebihan air zamzam dari segi unsur kimiawinya serta keberkatan air itu sendiri, maka ia dijadikan sebagai satu bahan ubatan selain daripada bacaan ruqyah syar’iyah bagi merawat penyakit sihir oleh perawat Muslim.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker