Shafie tak wajar salahkan Tun Razak, Ghaffar Baba atas kegagalan sendiri – Rahman · MYKMU.NET

Shafie tak wajar salahkan Tun Razak, Ghaffar Baba atas kegagalan sendiri – Rahman

Share

Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Ghafar Baba tidak wajar dipersalahkan apabila Sabah tidak membangun kerana mereka bukan berasal dari negeri itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan, kegagalan membangunkan Sabah sepatutnya dipertanggungjawabkan ke atas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilantik khususnya untuk membangunkan Sabah.

“Tun Ghafar dan Tun Razak bukan orang Sabah. Datuk Seri Shafie adalah menteri yang dilantik khusus oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar mewakili Sabah dan memberi keutamaan kepada Sabah.

“Datuk Seri Najib pernah bercakap dengan kami dalam kabinet tujuan melantik Datuk Seri Shafie menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah buat pertama kali dalam kalangan rakyat Sabah.

“Ternyata beliau gagal. Bukan sahaja beliau menggunakan alasan Tun Ghafar dan Tun Razak bahkan beliau berkata tidak dapat peruntukan yang banyak,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Operasi Barisan Nasional (BN) di Kimanis Cento hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah selaku Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu yang menyifatkan Perdana Menteri kedua juga gagal membangunkan kawasan luar bandar khususnya di Sabah.

Perkara itu timbul apabila jentera BN berkempen menyalahkan Mohd Shafie yang gagal membangunkan Sabah dalam menyediakan infrastruktur di luar bandar sedangkan kementeriannya mempunyai peruntukan kedua terbanyak dalam belanjawan negara.

Abdul Rahman juga membidas apabila Mohd Shafie bahawa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang diterjaui sejak 2009 hingga 2012 menerima peruntukan paling sedikit sedangkan RM34.8 bilion telah disalurkan sebelum ini.

“Sebagai bekas Menteri Unit Perancang Ekonomi (EPU), saya tahu berapa banyak peruntukan yang diperolehi oleh KKLW dan semasa beliau (Shafie Apdal) menjadi menterinya dari 2009 hingga 2012.

“Saya sudah maklumkan RM34.8 bilion dan kalau beliau utamakan Sabah pada waktu itu, negeri-negeri lain pun tidak akan marah sebab Sabah masih mundur dan duit minyak serta gas pula banyak datang dari Sabah,” katanya.

Tegas Abdul Rahman lagi, Mohd Shafie lupa bahawa beliau diberikan kebebasan dari segi menentukan peruntukan dan tender bagi KKLW.

“KKLW ketika itu diberikan keistimewaan untuk menentukan tender dan belanjawan, yang lain-lain kementerian terpaksa rujuk kepada Menteri Kewangan.

“Tapi untuk KKLW khusus untuk Datuk Seri Shafie beliau diberikan ruang cukup luas menentukan belanjawan dan menentukan tender.

“Jadi tiada alasan untuk beliau menggunakan bajet RM34.8 bilion semasa beliau menjadi menteri untuk membangunkan Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply