#PrkTgPiai : Isu ahli Umno tidak puas hati Jeck Seng calon BN di Tg Piai sudah selesai, kata Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi Umno susulan keputusan Barisan Nasional (BN) memilih Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai Wee Jeck Seng sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen berkenaan.

Zahid bagaimanapun berkata, isu tidak puas hati dalam kalangan ahli Umno itu kini sudah reda, bahkan percaya jentera Umno di Parlimen tersebut akan membantu kempen calon MCA itu selepas hari penamaan calon 2 Nov depan.

“Kami sudah lakukan mesyuarat koordinasi, biarpun sentimen itu cukup kuat di peringkat permulaan. Sudah cukup untuk meredakan rasa tidak puas hati itu dan mereka akan memenangkan calon MCA, yang mewakili BN dan tidak timbul masalah kaum dalam perkara ini,” katanya di Parlimen, hari ini.

Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan akhbar Berita Harian bahawa, ahli Umno bertindak memboikot majlis pengumuman calon BN semalam.



Tinjauan akhbar itu pada majlis itu mendapati hampir 90 peratus kehadiran di Rumah Umno Pontian sejak jam 7.30 malam itu adalah dalam kalangan ahli MCA.

Menurut laporan itu lagi, hampir keseluruhan Peti Daerah Mengundi (PDM) serta jentera BN di Parlimen berkenaan yang terdiri daripada kalangan ahli Umno kawasan berkenaan kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan yang tidak mendengar hasrat majoriti pengundi di situ.

Menurut Zahid, keputusan untuk memilih Wee sebagai calon merupakan keputusan muktamad. Ia tidak akan diubah memandangkan ia sudah dibincangkan di peringkat PDM, setiausaha agung, pengerusi perhubungan negeri dan Umno Bahagian.

“Sentimen kuat supaya calon Umno mewakili BN memang ada, tetapi hakikat yang perlu diterima ialah semangat muafakat dalam kalangan parti komponen BN haruslah diberikan keutamaan.



“Atas rasa itulah, maka semua jentera BN dari semua parti bergerak ke satu arah, iaitu berikan sokongan kepada Wee,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas.

Penamaan calon ditetapkan pada 2 Nov di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker