Pakar ekonomi: RM6.2 bilion ambil alih lebuh raya tol tidak untungkan rakyat

Seorang pakar ekonomi menolak keputusan Kementerian Kewangan untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di bandar bernilai RM6.2 bilion dengan berkata, wang itu lebih baik dibelanjakan untuk pendidikan atau pengangkutan awam.

Bercakap kepada pemberita selepas satu forum di Universiti Malaya semalam, Muhammed Abdul Khalid berkata, sekiranya objektifnya ialah untuk mengurangkan kos hidup secara bermakna tanpa mendedahkan kerajaan kepada hutang tambahan, maka cadangan pengambilan itu tidak menepati kriteria tersebut.

“Majoriti rakyat tidak akan mendapat satu sen pun manfaat kerana kadar tol semasa waktu puncak tetap sama,” kata Khalid yang merupakan penasihat ekonomi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu katanya, pengguna di negeri lain lain juga tidak akan mendapat manfaat dan satu-satunya manfaat yang diperolehi rakyat ialah jika meteka menggunakan lebuh raya pada tengah malam.



“Berapa ramaikah pekerja yang menggunakan lebuh raya pada tengah malam?”

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil alih lebuh raya Kesas, LDP, SPRINT dan Terowong Smart daripada Gamuda Bhd sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Okt lepas.

Cadangan tersebut turut dikritik oleh pakar pengangkutan Rosli Azad Khan yang menyifatkan kos RM6.2 itu sebagai terlalu mahal, terutama sekali kerana konsesi Lebuhraya Kesas akan tamat pada 2028.

Muhammed yang sebelum itu berucap pada forum bertajuk “National Budget Dissection” juga berkata, beliau mengalu-alukan langkah kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan e-wallet.



Bagaimanapun beliau mencadangkan penggunaan mekanisme sedia ada, bukannya memperuntukkan sebanyak RM450 juta untuk memberi RM30 kepada rakyat berumur 18 tahun dan ke atas yang memperoleh pendapatan kurang RM100,000 setahun.

“Mungkin kita boleh mengambil sebahagian wang itu daripada Bantuan Sara Hidup dan memasukkannya ke dalam e-wallet,” katanya.

“Dengan cara itu kita boleh selamatkan setengah bilion ringgit yang boleh digunakan untuk tujuan lain.”

Beliau juga menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan nombor pengenalan cukai (TIN) yang perlu dikemukakan oleh mana-mana orang yang membuat pembelian berharga lebih RM20,000.



Katanya, langkah itu akan mengurangkan kehilangan hasil kerajaan, selain mengutip maklumat mereka yang tidak membayar cukai.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker