Ucapan #Belanjawan2020 DSN – JANGAN JUAL SAMPAI LICIN , JANGAN HUTANG BERGANDA UNTUK KERAJAAN AKAN DATANG.

UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2020
MESYUARAT KETIGA PENGGAL KEDUA
PARLIMEN KE-14 (2019)
15 OKTOBER 2019
YB DATO’ SERI MOHAMMAD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
(AHLI PARLIMEN PEKAN)

Andaian yang boleh diyakini oleh pasaran domestik dan antarabangsa, adalah antara perkara paling penting apabila merangka sesebuah belanjawan.

Dan untuk Malaysia, dua andaian yang paling asas ialah harga minyak dunia dan kadar pertumbuhan KDNK.

Jika andaian kita jauh dari realiti, maka bajet kita akan lari. Hutang negara akan naik dengan lagi tinggi dan perbelanjaan serta rancangan kerajaan akan terjejas.

Dan kita perlu menjual aset negara secara lambak atau menjarah dari Petronas sehingga penarafan kredit Petronas jatuh lagi seperti apa yang berlaku pada bulan Jun tahun ini untuk menimbus defisit yang lebih tinggi akibat hasil negara terjejas kerana andaian yang salah.

Saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan PH kerana akhirnya mereka menggunakan andaian harga minyak yang betul tahun ini pada harga US$62 satu tong walaupun harga pasaran ketika ini masih di bawah US$60.

Ini jauh berbeza dari andaian harga US$72 satu tong yang saya nasihat tahun lepas semasa membahas Bajet 2019 dalam dewan yang mulia adalah terlalu tinggi..

Akhirnya, kita terbukti kerana harga minyak dunia untuk tahun 2019 adalah purata US$62 satu tong sahaja.

Malangnya, tahun ini kerajaan PH telah melakukan kesilapan yang sama dengan membuat andaian pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2020 pada kadar 4.8%.

Rata-rata penganalisis ekonomi, syarikat penarafan kredit antarabangsa, bank dunia dan IMF memberi unjuran yang lebih rendah pada purata 4.3%.

Tiada mana-mana pihak lain yang menyatakan bahawa kadar pertumbuhan tahun depan lebih tinggi pada tahun ini. Hanya kerajaan PH satu-satunya sahaja yang menyatakan sedemikian.

Patutkah kerajaan menggunakan kadar 4.8%? Adakah defisit negara akan menjadi lebih jauh berbanding apa yang diunjurkan untuk tahun depan iaitu 3.2% jika andaian ini salah lagi dan hasil kerajaan terjejas?

Saya ingin menyentuh tentang defisit negara bajet 2020 pula.

Tahun lepas, kerajaan PH memberi panduan bahawa defisit tahun 2020 adalah 3% tetapi sasaran awal ini telah terjejas menjadi 3.2%.

Perlu ingat bahawa setelah kerajaan BN naikkan defisit negara dan meminjam pada tahun 2009 untuk menyelematkan ekonomi negara dari krisis ekonomi dunia, dengan izin, the great global recession, kita telah mengaturkan rancangan untuk mengurangkan bajet defisit sehingga kita mensasarkan bajet seimbang ataupun balanced budget pada tahun 2020.

Dengan melaksanakan langkah-langkah fiskal yang berdisplin dan berhemah, defisit negara turun 8 tahun berturut-turut sehingga PH mengambil alih kerajaan pada PRU14.

Selepas itu, kerajaan PH menaikkan pula defisit negara.

Di bawah rancangan BN, defisit untuk tahun 2018 adalah 2.8%, tahun 2019 ialah 2% dan tahun 2020 adalah 0.6%.

Tetapi kini menjadi 3.7%, 3.4% dan 3.2% masing-masing.

Nampak gayanya, defisit negara akan tetap tinggi di bawah PH.

Oleh itu, di manakah rancangan PH untuk mengurangkan hutang negara?

Pada tahun 2018, defisit kerajaan ialah RM54.2 bilion, tahun 2019 ini ianya diunjur pada RM52.4 bilion dan defisit 3.2% untuk tahun depan bersamaan dengan defisit RM52.5 bilion.

Ini bermaksud hutang negara akan naik menjadi RM850 bilion tahun depan dan jika defisit kerajaan PH diteruskan untuk 3 tahun lagi iaitu pada kadar lebih RM50 bilion setiap tahun maka hutang langsung negara akan benar-benar mencapai misi PH untuk mencecah RM1 trilion pada tahun 2023 iaitu habisnya penggal pentadbiran PH ini.

Malah, bukan hanya hutang negara naik tetapi nisbah hutang juga naik dari 48.7% pada suku pertama tahun 2018 sebelum PRU14 dan pada bulan Jun lalu sudah naik ke 52.7% dan diunjurkan akan naik lagi tahun depan kerana defisit yang tinggi.

Perlu diingat bahawa kerajaan meletakkan had 55% untuk nisbah hutang ini dan kerajaan tidak akan dibenarkan untuk meminjam jika had ini tercecah.

Ini menunjukkan ruang untuk kerajaan melakukan pakej ransangan ekonomi jika negara dilanda krisis ekonomi adalah sangat terhad.

Itulah kebimbangan saya jika defisit negara tidak turun.

Tambahan pula ialah saya tengok bajet ini tidak mempunyai impak yang besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tahun depan.

Jumlah perbelanjaan kerajaan untuk tahun depan juga berkurangan dan ini bermaksud keupayaan kerajaan untuk mendokong ekonomi kita akan berkurangan tahun depan.

Ianya ketika eksport dan perdagangan antarabangsa kita semakin menurun.

Prestasi import barangan perantaraan yang merupakan barangan input bagi eksport bulan-bulan mendatang telah menurun iaitu pada Jun menurun sebanyak 2.5%, Julai menurun sebanyak 3.4% dan Ogos menjunam sebanyak 13.9%.

Prestasi import barangan modal yang menggambarkan pelaburan semasa juga telah jatuh. Pada bulan Jun menurun sebanyak 23.6%, Julai jatuh 13.9% dan Ogos menjunam sebanyak 31.0%

Prestasi import barangan penggunaan yang merupakan petunjuk kepada daya beli dan keyakianan pengguna juga jatuh. Pada bulan Jun menurun sebanyak 5.4%, Julai jatuh 5.0% dan Ogos menjunam sebanyak 31.0%

Tambahan pula ialah bajet ini tidak ada pemotongan cukai dan bantuan kepada rakyat juga tidak naik. Sekiranya kita ada GST, corporate tax dan personal income tax akan dikurangkan seperti tahun 2015.

Perancangan kerajaan BN adalah untuk mengurangkan kadar corporate tax yang kini berada pada 24%. Ini adalah kerana negara sekitar sudah mengurangkan coporate tax. Singapore 17%, Vietnam 20% dan Indonesia dijangka akan mengimbangi cukai korporat sama dengan Singapore. Malah Amerika Syarikat juga telah menurunkan corporate tax mereka kepada 21% pada tahun lepas.

Ini akan menjadikan Malaysia menjadi tidak kompetitif kepada pelabur.

Seperkara lagi, bajet ini tiada langsung pengurangan cukai peribadi untuk M40. Golongan ini seperti tidak dihiraukan. Tidak ada apa-apa untuk mereka dalam bajet ini dan bajet tahun lepas.

BR1M ataupun BSH sekarang tetap sama pada tahun lepas. Malah BR1M orang bujang sekarang hanya untuk mereka yang berumur 40 tahun ke atas dengan pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan.

BN nak bagi RM600 dan 21 tahun ke atas. PH nak bagi RM300.

Bukan lagi untuk yang berumur 21 tahun ke atas.

Maknanya, wang tidak sampai ke poket rakyat.

Malah kenaikkan harga petrol, harga air, cukai pintu dan cukai digital tahun depan juga menjejaskan kepada daya pembeli rakyat.

Pasaran Saham kita sudah jatuh 350 mata dari hampir 1,900 mata sebelum PRU14. Akibat ini, nilai sebanyak RM300 bilion telah lesap dari Malaysia.

Kita paling corot dalam dunia. Jauh dibelakang negara-negara jiran. Malah pasaran saham negara-negara seperti Zimbabwe dan Venezuela pun lagi baik dari Malaysia pada tahun 2019.

Dividen yang paling rendah dalam sejarah seperti Hibah 1.25%, LTAT 2%, ASB dan sebagainya akibat pasaran saham paling corot dalam dunia juga memberi impak kepada pendapatan Rakyat untuk tahun depan.

Jika rakyat tidak ada wang dalam poket, mereka tidak akan belanja.

Pada ketika kerajaan kurang belanja, bantuan tidak naik, dividen rendah akibat pasaran saham paling corot, kos yang menaik serta perdagangan antarabangsa yang terus menurun, adakah andaian kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 4.8% dapat dicapai?

Dan jika 4.8% ini tidak tercapai dan menyebabkan hasil kerajaan terjejas, adakah kerajaan akan jual lagi banyak aset negara secara lambak untuk menampung defisit? Lebih kurang RM40 bilion aset telah dijual.

Apakah logik untuk menjual aset Khazanah yang memberi pulangan 15% kenaikan nilai setiap tahun sejak tahun 2008 untuk membayar hutang pada kadar tahunan 3.5%?

Analogi rumah sewa memberi pulangan sebanyak 15%, bayar hutang 3.5%. Jika kita jual rumah itu, apa yang anak-anak kita nak makan?

Bila aset negara yang memberi pulangan yang baik tidak ada lagi pada masa depan, di manakah kerajaan masa depan akan cari hasil tanpa meminjam dengan lagi banyak?

Kerajaan PH patut pandai mencari pendapatan dengan membina aset yang menguntungkan.

Jika masalahnya ialah cukai SST tidak cekap dan menyebabkan ekonomi gelap atau black ekonomi terlepas dari dicukai, carilah cara untuk menambah baik SST atau bertukar balik kepada GST.

Saya juga nampak ucapan belanjawan di bawah PH ini telah menjadi seperti pentas ceramah politik apabila Bagan mengeluarkan angka RM2.7 bilion untuk bayar hutang 1MDB dan SRC untuk tahun ini.

Tetapi dalam ucapan bajet yang sama pula, dia mengesahkan bahawa projek Bandar Malaysia milik 1MDB diteruskan tetapi perolehan dari projek ini hanya akan diumum kelak.

Kenapa tak sebut kerajaan PH telah jual sebahagian dari projek ini untuk harga RM7.41 bilion pada bulan April pula?

Kos hutang, Bagan nak umum. Tapi hasil perolehan dan hasil pembangunan dari 1MDB dia tak mahu sebut pula.

Fakta bahawa nilai pembangunan projek Bandar Malaysia sebanyak RM140 bilion dan TRX RM40 bilion yang Bagan sendiri pernah sebut adalah antara aset paling baik dalam negara, dia malu nak sebut pula.

Selepas itu, dia pula mengeluarkan angka RM150 bilion yang kononnya BN telah “curi”.

Apakah yang ada dalam angka RM150 bilion? Kenapa hutang 1MDB RM32 bilion dengan aset-aset amat berharga ini tiba-tiba menjadi RM150 bilion pula?

Walaupun Bagan pernah terbukti telah mengelirukan dewan dengan ucapan bahawa wang GST sebanyak RM19.2 bilion telah dirompak oleh BN, saya ingin memberi dia benefit of the doubt.

Jika benar-benar RM150 bilion telah dicuri BN, kerajaan PH perlu laksanakan PAC untuk menyiasat kebenaran tuduhan Bagan ini.

Oleh itu, saya mencadangkan bahawa PAC diarahkan untuk menyiasat rompakan RM150 bilion ini serta-merta.

Dan jika tidak benar, maka Bagan perlu diambil tindakan dan behenti menjadikan ucapan belanjawan tahunan seperti pentas politik.

Pada kesimpulannya, janganlah melihat bajet ini sebagai peluang untuk memulihkan sokongan rakyat yang telah menjunam untuk kerajaan PH ini. Setiap bajet perlu menyelesaikan masalah ketika ini, tetapi jangan sehingga mengorbankan masa depan rakyat dan negara.

Janganlah jual semua aset yang memberi pulangan jangkamasa panjang sampai bersih licin. Janganlah tinggalkan hutang negara dengan begitu pantas sekali berbanding masa BN. Janganlah tinggalkan beban yang tidak boleh diselesaikan oleh kerajaan masa hadapan. Janganlah mengamalkan dasar-dasar populis yang tidak menguntungkan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker