UMNO Harus Keluar Dari Kotak Pemikiran Untuk Terus Berjaya – Ahmad Zahid

Share


Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO harus keluar dari kotak pemikiran untuk meneroka dunia yang luas.

Jelas beliau, ahli parti tidak boleh terbelenggu dengan pemikiran ‘UMNO-centric’ dan berkisar dalam kalangan ahli sahaja, sehingga terlupa bahawa persada perjuangan sebenar adalah dunia orang Melayu keseluruhannya bersama kaum-kaum lain dan Malaysia dengan memayungi seluruh rakyatnya.

“Kita tahu bahawa UMNO tidak akan menang tanpa dukungan bangsa lain, ini hakikat yang berlaku. Saya percaya bahawa dengan dokongan ahli UMNO dan bangsa lain, negara kita akan terbina semula, bukan sebagai Malaysia baru tapi asas kita dalam PRU-15, kita tidak berhasrat untuk mewujudkan UMNO baru, Melayu baru atau Malaysia baru tapi kembali kepada Malaysia yang asal dan ditambah dengan kekuatan baru.

“Sebab itu pada saya, kita harus menolak politik personaliti. UMNO tidak akan berkelangsungan dengan hanya pemujaan terhadap mana-mana tokoh tertentu dan pemimpin tertentu. UMNO perlu bergerak sebagai satu pasukan yang mantap… hanya buah yang bertangkai yang boleh dijinjing.”

Tegasnya, selagi UMNO dibelenggu dengan politik personaliti, selagi UMNO tinggal, hidup dan berfikir dalam dunia UMNO yang tersendiri maka selagi itu, UMNO akan hadapi masalah besar untuk mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan orang Melayu dan bangsa lain.

“… seperti yang saya sering katakan, kita harus meperjuangkan kesatuan kita. Yang kalah jadi arang, yang menang jadi abu, yang rugi itu Islam, yang rosak itu Melayu,” ujar beliau ketika berucap dalam program Konvensyen UMNO Negeri Johor di sini, hari ini.

Tambah Zahid, untuk memastikan UMNO terus maju dan relevan, aktiviti ‘tembak-menembak’ sesama sendiri, pulau-memulau pemimpin atau calon, membentuk kabilah, apatah lagi menjadi pengkhianat parti harus dihentikan segera.

“Justeru saya menyeru daripada lubuk hati saya, kita sama-sama bergerak menjadi pemangkin politik progresif dan menjadi ‘glue’ atau gam dalam penyatuan ini,” ujar beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk – UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *